PELAN STRATEGIK ARKIB NEGARA MALAYSIA 2016 - 2020 PELAN STRATEGIK ARKIB NEGARA MALAYSIA 2016 - 2020

 

RINGKASAN EKSEKUTIF

 

Pelan Strategik Arkib Negara Malaysia 2016-2020 (PSANM), disediakan untuk menyatakan tujuan, visi dan misi ANM untuk tempoh lima tahun akan datang. ANM juga telah menentukan kedudukannya di dalam jajaran visi dan misi nasional negara untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. ANM akan terus menyumbang tenaga dan kepakarannya dalam bidang Pengurusan Rekod serta bergerak seiring dalam mentransformasikan perkhidmatan arkib khasnya dan perkhidmatan awam umumnya sebagai perkhidmatan yang berkualiti, kompetitif, relevan dan unggul didalam negara.

PSANM akan menjadi dokumen rujukan dan panduan untuk ANM melaksanakan program dan aktiviti Jabatan. Penetapan sasaran bagi program dan aktiviti dibuat berdasarkan keperluan semasa dan akan datang. Perancangan telah disediakan dalam bentuk Jadual Tindakan yang akan membolehkan ANM merancang, melaksanakan dan memantau program dan aktivitinya dengan lebih sistematik. Justeru, aktiviti yang dilaksanakan benar-benar berkualiti dan membawa impak yang berkesan serta positif kepada rakyat dan negara. Secara umum, objektif PSANM adalah untuk:

  1. Merangka strategi dan pelan tindakan yang praktikal bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab Arkib Negara terutama dalam Pengurusan Rekod dan Pentadbiran Arkib dengan lebih berkesan agar maklumat dan bahan warisan sejarah negara dapat dipelihara dengan baik dan sempurna;
  2. Memastikan peralihan dan transformasi Jabatan dapat diteruskan menjelang tahun 2020 dengan menjadikan perkhidmatan arkib satu perkhidmatan yang moden, cekap, dan berteknologi tinggi bagi menangani bahan arkib dan rekod dalam format baharu dan terkini;
  3. Memantapkan pembangunan kapasiti organisasi bagi memastikan ANM kekal relevan serta melahirkan tenaga pakar yang professional, berilmu, berketerampilan dan berkualiti dan setanding dengan pakar-pakar arkib di dunia.
Untuk itu, PSANM menyenaraikan 6 teras strategik dan 24 strategi yang akan dilaksanakan sehingga tahun 2020. Kesemua strategi dirancang agar selaras dengan perancangan
lima tahun negara iaitu Rancangan Malaysia ke 11. PSANM juga akan dipastikan agar terus berjalan seiring dengan visi dan misi negara iaitu menjadikan Malaysia sebuah maju menjelang 2020. Selain itu, PSANM turut mengambil kira Program Transformasi perkhidmatan Awam, bagi menjadikan ANM sebuah perkhidmatan awam yang berkualiti
dan berprestasi tinggi.
 
Pemantauan pelaksanaan PSANM ini akan dibuat melalui Mesyuarat Pengurusan Jabatan yang diadakan setiap bulan. Walau bagaimanapun pelaporan akan dibuat sebanyak dua (2) kali setahun iaitu separuh tahun pertama (Januari hingga Jun) dan separuh tahun kedua (Julai hingga Disember) setiap tahun. Mesyuarat Pengurusan Jabatan akan meneliti status perlakasanaan program bagi mengenal pasti pencapaian sasaran mengikut ketetapan yang
ditentukan.
 
 
Muat Turun