"Pemasyhuran Malaysia" : Lahirnya Sebuah Negara

Sejarah pembentukan sesebuah negara, berlaku dalam pelbagai cara dan situasi. Ada di antara negara-negara di dunia ini lahir setelah berlaku peperangan atau persengketaan dan tidak kurang juga terbentuk hasil daripada rundingan. Dalam konteks Malaysia, kelahirannya sebagai sebuah negara baharu adalah terhasil daripada persetujuan pemimpin-pemimpin negeri-negeri yang terlibat iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura untuk bersekutu dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persetujuan ini diperkukuhkan lagi apabila majoriti rakyat di negeri yang terlibat bersetuju memilih untuk bergabung melalui konsensus yang diperolehi oleh Suruhanjaya Cobbold.

Sesungguhnya gabungan ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana kedudukan geografi negeri-negeri ini adalah saling berdekatan di antara satu sama lain di tambah pula kesemua negeri ini pernah berada di bawah pemerintahan British. Oleh itu terdapat sedikit sebanyak persamaan terutamanya dari struktur pentadbiran dan perundangan yang diamalkan yang sememangnya ala British.

Kelahiran Malaysia 50 tahun yang lalu sememangnya telah terukir dalam sejarah dunia. Dokumen Pemasyhuran Malaysia  yang ditandatangani oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini menjadi bukti dan simbol kepada pewujudan sebuah negara baharu bernama Malaysia di mana rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum, suku, bahasa, budaya dan agama. Kepelbagaian ini telah mencorak dan mewarnai Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di mana rakyat yang mengamalkan pelbagai budaya ini dapat hidup secara aman dan bersatu dalam suasana harmoni serta jauh daripada sengketa.

Mengimbas sejarah penubuhan Malaysia, hasrat ke arah itu telah dibayangkan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra pada 27 Mei 1961 dalam ucapannya di Majlis Jamuan Akhbar sempena Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura. Dalam ucapannya itu YTM Tunku menegaskan mengenai perlunya Persekutuan Tanah Melayu mempunyai satu dasar politik yang meluas dan persefahaman yang lebih rapat dengan wilayah-wilayah seperti Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Kemudian daripada itu, YTM Tunku telah berusaha untuk menjayakan gagasan penubuhan Malaysia melalui perbincangan, rundingan, penyiasatan dan pilihan raya yang memakan masa lebih kurang dua tahun setengah lamanya.

Pada asalnya, YTM Tunku berhasrat agar penubuhan Malaysia tersebut dapat dizahirkan pada tarikh yang sama dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu 31 Ogos 1963. Akan tetapi, oleh kerana terdapat penentangan daripada Filipina dan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia, hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana YTM Tunku perlu mengambil beberapa tindakan bagi menyelesaikan perkara ini. Akhirnya Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963 setelah Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu berpuas hati dan mengesahkan bahawa lebih daripada 70 peratus penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju dan menyokong penubuhan Malaysia.

Sempena sambutan ulang tahun jubli emas Hari Malaysia ini, Arkib Negara Malaysia ingin menguar-uarkan serta berkongsi dengan seluruh rakyat Malaysia kandungan teks Pemasyhuran Malaysia yang dibacakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama di Stadium Merdeka pada 16 September 1963 . Pemasyhuran ini menjadi bukti penyatuan di antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Adalah menjadi kewajipan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengenali dokumen penting ini serta sama-sama mengetahui, memahami dan menghayati kandungan pemasyhuran tersebut yang menjadi kebanggaan serta bukti kepada terbentuknya sebuah negara baharu yang merdeka dan berdaulat.  


PEMASYHURAN MALAYSIA

Dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, segala puji-pujian bagi Allah tuhan seru sekalian alam dan selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan bagi sekalian keluarga serta sahabat-sahabatnya.
Bahawasanya oleh kerana suatu perjanjian yang diperbuat pada sembilan hari bulan Julai tahun seribu sembilan ratus enam puluh tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa persekutuan itu hendaklah dinamakan "MALAYSIA".

Dan bahawasanya oleh kerana pihak-pihak dalam perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah negeri itu:

Dan bahawasanya oleh kerana telah dimasyhurkan suatu perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi kanun yang muktamad di dalamnya:

Dan bahawasanya oleh kerana perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan bagi menggalakkan keamanan dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan dan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen:

Dan bahawasanya oleh kerana perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalanlah kuat kuasa perlembagaan itu pada Enam Belas hari bulan September tahun seribu sembilan ratus enam puluh tiga.

Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ IBNI ALMARHUM SULTAN ABDUL HAMID HALIM SHAH, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negara Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengisytihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam Belas hari bulan September tahun seribu sembilan ratus enam puluh tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan hari bulan Rabiulakhir tahun Hijrah seribu tiga ratus lapan puluh tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul Alamin akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.

t.t Tunku Abdul Rahman                       Kuala Lumpur.
 Perdana Menteri                            Enam Belas hari bulan September, 1963

Kandungan Pemasyhuran Malaysia ini sebenarnya tidak jauh berbeza daripada kandungan Pengisytiharan Kemerdekaan 31 Ogos 1957. Ia masih lagi mendokong asas-asas yang sama cuma membentuk sebuah negara baharu yang dinamakan Malaysia melalui penyatuan di antara 11 negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, pada 9 Ogos 1965 Singapura telah berpisah daripada Malaysia untuk membentuk Republiknya sendiri kerana perbezaan ideologi.

Dokumen asal Pemasyhuran Malaysia yang berukuran 74.5cm x 50cm dan diperbuat daripada kulit kambing ini masih tersimpan dengan baik di Arkib Negara Malaysia. Dokumen ini terdapat dalam tiga versi salinan iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu bertulisan jawi dan Bahasa Melayu bertulisan rumi.

Sememangnya tarikh 16 September adalah tarikh keramat yang semestinya dinanti-nantikan dan diraikan oleh seluruh lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Tarikh yang menyatukan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dengan nama Malaysia ini selayaknya diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh seluruh rakyat Malaysia serta disambut dengan penuh gemilang sebagai tanda kesyukuran, kemenangan dan kebebasan.

Dalam meniti usia 50 tahun ini terlalu banyak peristiwa suka dan duka yang telah ditempuhi dan diharungi bersama oleh rakyat Malaysia. Yang terkini ialah insiden pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu dalam cubaan merampas Sabah. Walaupun peristiwa ini telah berjaya ditangani, namun ia meninggalkan kesan yang amat mendalam di hati setiap rakyat Malaysia. Peristiwa ini menyedarkan rakyat erti sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Oleh itu marilah kita sama-sama berganding bahu mempertahankan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, Arkib Negara Malaysia ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia. Arkib Negara juga ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama mengenali dan mencintai sejarah negara kita. Sesungguhnya mencintai Malaysia bermula dengan mengenali sejarah Malaysia dan seterusnya bersatu mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Image