Pemasyhuran Malaysia Pemasyhuran Malaysia

Artikel Sempena Sambutan Hari Malaysia Ke-50
"Pemasyhuran Malaysia" : Lahirnya Sebuah Negara


Sejarah pembentukan sesebuah negara, berlaku dalam pelbagai cara dan situasi. Ada di antara negara-negara di dunia ini lahir setelah berlaku peperangan atau persengketaan dan tidak kurang juga terbentuk hasil daripada rundingan. Dalam konteks Malaysia, kelahirannya sebagai sebuah negara baharu adalah terhasil daripada persetujuan pemimpin-pemimpin negeri-negeri yang terlibat iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura untuk bersekutu dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persetujuan ini diperkukuhkan lagi apabila majoriti rakyat di negeri yang terlibat bersetuju memilih untuk bergabung melalui konsensus yang diperolehi oleh Suruhanjaya Cobbold.

Sesungguhnya gabungan ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana kedudukan geografi negeri-negeri ini adalah saling berdekatan di antara satu sama lain di tambah pula kesemua negeri ini pernah berada di bawah pemerintahan British. Oleh itu terdapat sedikit sebanyak persamaan terutamanya dari struktur pentadbiran dan perundangan yang diamalkan yang sememangnya ala British.

Kelahiran Malaysia 50 tahun yang lalu sememangnya telah terukir dalam sejarah dunia. Dokumen Pemasyhuran Malaysia yang ditandatangani oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ini menjadi bukti dan simbol kepada pewujudan sebuah negara baharu bernama Malaysia di mana rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum, suku, bahasa, budaya dan agama. Kepelbagaian ini telah mencorak dan mewarnai Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di mana rakyat yang mengamalkan pelbagai budaya ini dapat hidup secara aman dan bersatu dalam suasana harmoni serta jauh daripada sengketa.

Mengimbas sejarah penubuhan Malaysia, hasrat ke arah itu telah dibayangkan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra pada 27 Mei 1961 dalam ucapannya di Majlis Jamuan Akhbar sempena Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura. Dalam ucapannya itu YTM Tunku menegaskan mengenai perlunya Persekutuan Tanah Melayu mempunyai satu dasar politik yang meluas dan persefahaman yang lebih rapat dengan wilayah-wilayah seperti Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Kemudian daripada itu, YTM Tunku telah berusaha untuk menjayakan gagasan penubuhan Malaysia melalui perbincangan, rundingan, penyiasatan dan pilihan raya yang memakan masa lebih kurang dua tahun setengah lamanya.

Pada asalnya, YTM Tunku berhasrat agar penubuhan Malaysia tersebut dapat dizahirkan pada tarikh yang sama dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu 31 Ogos 1963. Akan tetapi, oleh kerana terdapat penentangan daripada Filipina dan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia, hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana YTM Tunku perlu mengambil beberapa tindakan bagi menyelesaikan perkara ini. Akhirnya Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963 setelah Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu berpuas hati dan mengesahkan bahawa lebih daripada 70 peratus penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju dan menyokong penubuhan Malaysia.

Sempena sambutan ulang tahun jubli emas Hari Malaysia ini, Arkib Negara Malaysia ingin menguar-uarkan serta berkongsi dengan seluruh rakyat Malaysia kandungan teks Pemasyhuran Malaysia yang dibacakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama di Stadium Merdeka pada 16 September 1963 . Pemasyhuran ini menjadi bukti penyatuan di antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Adalah menjadi kewajipan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengenali dokumen penting ini serta sama-sama mengetahui, memahami dan menghayati kandungan pemasyhuran tersebut yang menjadi kebanggaan serta bukti kepada terbentuknya sebuah negara baharu yang merdeka dan berdaulat.  

Mukasurat: 1  2  3