Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Pertama Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Pertama

 

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Merdeka telah diadakan pada 3 Ogos 1957 dalam satu Persidangan Khas Raja-raja Melayu di Dewan Mesyuarat Majlis Kerajaan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan Khas dan bersejarah ini dipengerusikan oleh Sultan Kedah dan dihadiri oleh semua Raja-raja dan Sultan kecuali Sultan Johor yang berada di Eropah dan diwakili oleh Tengku Mahkota. Persidangan bersejarah ini menyaksikan buat pertama kalinya pemilihan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong diadakan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang akan merdeka.  Pemilihan ini dilakukan mengikut Bahagian 4, Artikel 32, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.  Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dipilih sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu Merdeka manakala Tuanku Sir Hishamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. 
 
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Merdeka yang pertama, DYMM Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.