Penubuhan Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Penubuhan Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka.

Tujuh puluh enam tahun lalu, pada 31 Januari 1935 satu lakaran sejarah dalam dunia pendidikan guru tercatat apabila sebuah Maktab khas untuk kaum wanita di Tanah Melayu telah dibuka dengan rasminya oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat. Maktab ini dikenali sebagai The Malay Women's Training College atau ringkasnya MWTC. Maktab yang terletak di Durian Daun, Melaka ini ditubuhkan dengan tujuan untuk melatih guru-guru wanita Melayu khususnya bagi pendidikan di sekolah rendah perempuan, aliran Melayu. 

 Pada peringkat permulaanya seramai 24 orang pelatih yang datang dari seluruh Tanah Melayu telah diterima untuk memulakan sesi pertama pengajian pada 1 Februari 1935. Pelatih-pelatih yang terpilih ini merupakan lulusan Darjah lima Sekolah Melayu yang berjaya melepasi proses temuduga yang dijalankan oleh Bahagian Pelajaran.  Pengambilan pelatih ini dibuat secara menyeluruh iaitu 14 orang dari Negeri-Negeri Selat dan 10 orang dari Negeri-Negeri Melayu. Catatan selengkapnya jumlah penuntut-penuntut yang datang dari tiap-tiap negeri seperti yang dicatatkan dalam rencana tulisan Fatimah bt. Haji Musip, iaitu pelatih kumpulan kedua maktab ini  ialah seperti berikut:

 

KUMPULAN I
(Dari 1/2/1935 – Nov. 1936)

KUMPULAN II
(Dari 7/1/1937 – 31/10/1938)
Negeri
Jumlah
Jumlah
Pulau Pinang
6 orang
6 orang
Perak
3 orang
3 orang
Selangor
2 orang
2 orang
Negeri Sembilan
2 orang
2 orang
Melaka
5 orang
3 orang
Johor
2 orang
2 orang
Singapura
3 orang
2 orang
Pahang
1 orang
3 orang
Terengganu
-
1 orang
Kelantan
-
1 orang
Jumlah
24 orang
24 orang


Kumpulan pelatih perintis ini menjalani latihan selama dua tahun di bawah seliaan pengetua pertama MWTC, Cik Pardom, iaitu bekas Penyelia Wanita Sekolah-Sekolah Melayu, Negeri-Negeri Selat dan pembantunya Cik M. Lomas. Pada peringkat permulaan ini MTWC beroperasi di blok-blok bangunan lama Hospital Melaka yang diubahsuai oleh kerajaan kolonial British.

Selaras dengan tujuan penubuhan dan kedudukannya sebagai  Maktab khas untuk melatih golongan wanita menjadi guru di Tanah Melayu, kurikulum MWTC berkecenderungan ke arah memberi latihan urusan rumahtangga dan keperluan hidup sehari-hari sebagai seorang suri rumahtangga.  Sukatan pelajaran selama dua tahun ini merupakan ulangkaji semula sukatan pelajaran untuk sekolah perempuan dari darjah satu hingga darjah lima. Mata pelajaran yang di ajar terdiri daripada Kira-kira, Membaca dan menulis Rumi dan Jawi, Karangan, Sejarah, Ilmu Alam Kejadian, Sains Rumahtangga, Kebersihan, Prinsip-Prinsip Pengajaran, Pengetahuan Agama, Nyanyian, Senaman dan Permainan, Lukisan, Jahitan dan Kerja tangan.

Mukasurat: 1  2  3  4