Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Penubuhan Malaysia 16 September 1963

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato' Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom). Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan "Merdeka" sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6