Perasmian Stadium Merdeka Perasmian Stadium Merdeka

Stadium Merdeka yang menjadi lokasi upacara Pemasyhuran Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 telah disempurnakan pembukaan rasminya oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra pada 30 Ogos 1957. Stadium yang siap dibina pada 21 Ogos 1957, direkabentuk oleh S.E.Jewkes dari Cawangan Kejuruteraan Ibu Pejabat, Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Perletakan batu asas Stadium Merdeka telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra pada 15 Februari 1957. Kerja-kerja pembinaan stadium yang bernilai RM2.3 juta ini telah dipercepatkan dan mengambil masa  selama enam bulan sahaja bagi membolehkan acara sambutan Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dilangsungkan. Upacara perasmian Stadium Merdeka telah diserikan dengan persembahan pertunjukan padang oleh 1,000 orang murid-murid sekolah dengan iringan pancaragam Askar Melayu Diraja.

 

Pembukaan rasmi Stadium Merdeka pada 30 Ogos 1957 oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra.