Persada Kegemilangan Bahasa Melayu Persada Kegemilangan Bahasa Melayu

Kedudukan utama bahasa Melayu ini disokong penulisan-penulisan oleh pegawai, pendita dan ahli sejarah Eropah lain seperti Jan Huyghen van Linschoten dan Francois Valentijn. Memetik catatan Valentijn yang pernah melawat Melaka di awal abad ke-18 -
"Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di negeri-negeri sebelah Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah atau sebagai bahasa lingua-franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita tidak memahaminya, tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada itu, dan di sebelah timurnya sehingga ke Kepulauan Filipina. Dan jika sekiranya awak tidak mengetahui bahasa ini, awak dianggap sebagai seorang yang tidak terpelajar di Timur..."

Dari sini kita dapat melihat kedudukan penting bahasa Melayu se awal abad 16 hingga 18 di mana bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua-franca atau bahasa perantaraan, bahasa perhubungan dan bahasa perdagangan di seluruh rantau Kepulauan Melayu.

Menurut Prof. Ismail Hussein dalam bukunya Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita, bahasa Melayu merupakan salah satu dari 200 bahasa dalam Kepulauan Melayu. Walaupun pelbagai ragam, dialek dan bahasa daerah dipergunakan oleh masyarakat setempat apabila berhubung sesama mereka, namun apabila ada keperluan berhubung dengan orang luar, satu bahasa umum digunakan iaitu bahasa Melayu.

Kemungkinan kerana kesederhanaan sifat dan bentuk bahasa Melayu itu yang menjadikannya mudah diterima sehingga menjadi bahasa perantaraan yang popular dan penting di rantau Kepulauan Melayu.

Kepentingan peranan bahasa Melayu di Alam Melayu ini turut diperkukuhkan oleh hasil-hasil karya dan kesusasteraan lama. Se awal 1380M, telah ditemui syair berbahasa Melayu terukir pada sebuah batu bersurat di Acheh.

Syair Melayu lain ditemui seperti Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri yang dipercayai syair tertua dikarang sekitar 1606-1636, Syair Siti Zubaidah, Syair Dandan Setia dan Syair Ken Tambunan juga secara langsung menunjukkan kepada kita bahasa Melayu juga merupakan bahasa kesusasteraan yang sejak awal dipergunakan oleh rakyat di rantau ini.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7  8  9