Persada Kegemilangan Bahasa Melayu Persada Kegemilangan Bahasa Melayu

Banyak sekolah-sekolah Melayu juga dibuka. Pembelajaran semakin meluas dalam kalangan penduduk, tidak terhad pada lingkungan istana sahaja. Bahasa Melayu mula mencapai tahap bahasa moden dengan perbendaharaan kata-kata, istilah dan gaya penulisan yang baru. Bahasa Melayu dikatakan bertapak dengan kukuh pada abad ini.

Dengan melihat kepada sejarah hidupnya yang panjang bermula sejak abad ke-2M dan masih wujud sehingga ke hari ini, mustahil bahasa Melayu tidak pernah menjadi bahasa yang penting atau mengecapi kegemilangan dan keagungannya yang tersendiri.

Menurut L.C.Damais dalam bukunya, Etudes Javanaises, bahasa Melayu sejak dari abad ke-8 telah menjadi bahasa yang digunakan di seluruh rantau kepulauan Melayu. Ia menjadi bahasa perhubungan di antara penduduk tempatan dengan bangsa asing. Malah orang-orang Cina ketika berdagang dengan orang Jawa, menggunakan bahasa Melayu bukannya bahasa Jawa.

W.Linehan dalam rencananya, The Earliest Word-list and Dictionaries of Malay Language, sebelum kedatangan Portugis di awal abad ke-16, telah ada sebuah kamus atau kumpulan perkataan Melayu-Cina yang ditulis dengan huruf kanji.

Daftar Kata Figafetta Itali-Melayu, sebuah kamus yang terkenal ditulis pada tahun 1521 ketika Figafetta mengikuti pelayaran Ferdinand Magellan mengelilingi dunia. Dengan bantuan seorang anak kapal berbangsa Melayu, Figafetta yang singgah di Pulau Maluku, telah menyenaraikan 426 perkataan dalam bahasa Melayu dengan terjemahan dalam bahasa Itali dan Inggeris.

Sebuah lagi kamus Melayu yang terkenal di Eropah iaitu Spraeck de Woordboek in de Maleysche en de Madagascar Talen ditulis oleh de Houtman, seorang Belanda di antara tahun 1595-1602. Buku ini dicetak berulang kali. Penerbitan 12 buah lagi kamus Melayu oleh bangsa asing dalam tahun-tahun 1603 hingga 1708 telah menunjukkan kepada kita betapa giatnya orang-orang Eropah mempelajari bahasa Melayu.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7  8  9