Persada Kegemilangan Bahasa Melayu Persada Kegemilangan Bahasa Melayu

Dalam perkembangan berikutnya, ujian ini diperluaskan kepada pengetahuan mengenai perbendaharaan kata-kata, penggunaan tatabahasa yang betul dan kebolehan menterjemahkan ayat dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Markah peperiksaan mereka direkodkan dalam fail.

Dari satu cabutan fail pada tahun 1932, terdapat peraturan di mana ketua jururawat yang datang dari luar juga dikehendakki lulus peperiksaan bahasa Melayu dalam tempoh 18 bulan selepas tiba di Tanah Melayu. Oleh itu, tidak hairan bagi mana-mana pegawai luar yang baru tiba ke Tanah Melayu akan meminta khidmat guru untuk mengajar mereka bahasa Melayu. Yuran tuisyen mereka ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Sememangnya pembelajaran bahasa Melayu pada ketika ini adalah untuk memudahkan mereka berhubung dan memberi arahan kepada orang-orang tempatan. Jika mereka langsung tidak tahu bahasa Melayu, mereka akan menghadapi masalah.

Namun begitu, sejarah juga tidak menafikan cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu. Penjajah akan tetap mengutamakan bahasa mereka. Kita dapat lihat dalam perkembangan berikutnya bagaimana bahasa Inggeris diserapkan dalam urusan-urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan.

Pada masa yang sama, penggunaan tulisan Melayu-rumi yang diertikan sebagai Romanised Malay diperkenalkan dan semakin berkembang pesat dalam bidang pentadbiran dan pendidikan. Ia kian beransur menggantikan tulisan Melayu-jawi.

Selepas Perang Dunia Kedua, senario menampakkan perubahan yang lebih ketara. British mengubah dasar dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Bahasa Melayu juga diguna tetapi hanya untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Pada tahun 1949, timbul suara-suara agar dikembalikan kedudukan bahasa Melayu. Akhbar Majlis umpamanya, banyak mengutarakan isu bahasa ini. Tidak terkecuali juga peranan yang dimainkan oleh raja-raja Melayu. Satu cabutan dari fail menemui sekeping surat daripada Raja Perlis kepada Penasihat British bertarikh 15 Disember 1948. Dalam surat tersebut, Raja Perlis menggesa bahasa Melayu dikuatkuasakan sebagai bahasa rasmi kerajaan negeri.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7  8  9