Persada Kegemilangan Bahasa Melayu Persada Kegemilangan Bahasa Melayu

Usaha mengembangkan bahasa Melayu bermula dengan penubuhan Lembaga Bahasa Melayu pada tahun 1950. Dr. Burhanuddin Helmi dan Buyung Adil adalah antara ahli Jawatankuasa Lembaga ini.

Di awal 1950an, Majlis-majlis Negeri membuat ketetapan dan arahan-arahan mula dikeluarkan oleh Pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung penggunaan bahasa Melayu. Beberapa parti politik turut menggesa agar bahasa Melayu diguna sebagai bahasa rasmi.

Suara lantang bergema dalam Kongres-kongres Bahasa dan Persuratan Melayu lalu menggerakkan usaha padu bagi menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Kegigihan terlihat dalam penghasilan Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956 dikenali sebagai Laporan Barnes, Laporan Razak 1956 serta Ordinan Pelajaran 1957 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

Pada ketika ini juga Dewan Bahasa dan Pustaka serta Maktab Perguruan Bahasa ditubuhkan. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, termaktublah dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan.

Penyata Rahman Talib 1960 disusuli penggubalan Akta Pelajaran 1961 serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan 1967 memperteguhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Juga Akta Pelajaran 1972 dan 1996.

Semua keputusan atau perundangan yang digubal ini tidak lain tidak bukan, bertujuan untuk membentuk identiti kebangsaan dan menjalin perpaduan erat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama yang semakin meningkat bilangannya di negara ini. Kemurnian hasrat yang tersirat ini harus difahami dan diterima oleh semua pihak.

Kewujudan bahasa Melayu sejak awal daripada pembentukan negara ini lagi dan pernah menjadi akar umbi kepada pertembungan budaya dan manusia dari pelbagai bangsa dan negara di rantau ini sudah cukup untuk menjadi landasan kukuh mengapa ia perlu diterima sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan.

Mukasurat: 1  2  3  4  5  6  7  8  9