Perutusan Tahun Baru 2017 Ketua Pengarah Perutusan Tahun Baru 2017 Ketua Pengarah

  • En. Azemi Bin Abdul Aziz

     

    Bismillahirrahmanirrahim.

     

    Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

     

    Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah Subhanahuwa Ta’ala kita berpeluang menikmati dan meraikan tahun baru 2017 seterusnya dapat saya mengukir sepatah dua kata melalui Perutusan Tahun Baru 2017.  Masa berjalan begitu pantas sekali. Tanpa kita sedar tahun 2016 telah meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan pahit dan manis.  Perkara yang perlu dijadikan iktibar serta pengajaran berguna perlulah ditangani dengan usaha yang serius demi menjadikan Arkib Negara Malaysia sebagai sebuah organisasi yang unggul untuk negara.

     

    Saya juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga Arkib yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan semua program dan aktiviti yang dirancang pada tahun 2016 di mana ia telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dan ini satu kebanggaan kepada Arkib Negara Malaysia.

     

    Selaras dengan dasar perbelanjaan yang optimum saya menyeru kepada semua Bahagian agar dapat membuat perancangan perbelanjaan secara berhemah bagi tahun 2017 memandangkan peruntukan yang diperolehi sudah berkurangan.  Diingatkan juga agar semua perbelanjaan tersebut perlu mematuhi arahan dan pekeliling yang sedang berkuatkuasa.

     

    Integriti semakin menjadi topik perbualan dan perbincangan masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan bermula dengan integriti individu, keluarga dan masyarakat sehinggalah kepada integriti pekerjaan dan pelaksanaan tugas, integriti organisasi dan institusi.  Justeru itu pembudayaan integriti di kalangan warga Arkib haruslah diberi keutamaan demi menjaga imej Arkib Negara Malaysia.  Di samping itu adalah menjadi harapan Jabatan supaya warga Arkib berpegang kuat kepada Nilai-Nilai Murni dalam menangani cabaran persekitaran global tanpa mengorbankan jati diri dan warisan budaya.

     

    Arkib Negara Malaysia akan menyambut ulangtahun yang ke 60 pada 1 Disember 2017.  Sejajar dengan itu saya menyeru warga Arkib agar lebih matang, proaktif dan responsif serta berusaha mempertingkatkan tahap profesionalisme mereka dengan menambah ilmu pengetahun kerja dan kemahiran agar pencapaian yang dihasilkan sentiasa cemerlang.  Amalkan kepimpinan yang dinamik, kerja berpasukan, hormat menghormati, bantu membantu dan tegur menegur ke arah kebaikan sesama kita.

     

    Akhir kata, saya berdoa agar warga Arkib Negara Malaysia diberi petunjuk dan hidayah serta sihat sejahtera dan juga berharap Arkib Negara Malaysia akan lebih cemerlang pada tahun 2017.

     

    Sekian, terima kasih.

     

    ‘ARKIB: Intipati kepada MASA’

     

    AZEMI BIN ABDUL AZIZ

    KETUA PENGARAH

    ARKIB NEGARA MALAYSIA