Perutusan Tahun Baru 2018 Ketua Pengarah Perutusan Tahun Baru 2018 Ketua Pengarah

En. Azemi Bin Abdul Aziz

 

Assalamualaikum Warrahmatullah Hiwabarakatuh, Salam Sejahtera,
Salam Ekspresi Negara Ku Dan Salam "Arkib: Intipati Kepada Masa"

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan IzinNya tahun 2017 telah berjaya diharungi dengan penuh dedikasi dan jayanya. Dikesempatan ini saya mengambil ruang dan peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh warga arkib atas komitmen, keazaman dan kerja keras berpasukan yang telah ditunjukkan dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan sepanjang tahun 2017.

Pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2017 merupakan suatu manifestasi komitmen dan iltizam seluruh warga arkib kepada perkhidmatan awam secara amnya dan kepada Arkib Negara Malaysia khasnya. Tahun 2017 merupakan tahun yang cukup bermakna bagi seluruh warga jabatan. 1 Disember 2017 genap usia 60 tahun Arkib Negara Malaysia. Setelah enam dekad penubuhannya, peranan Arkib Negara Malaysia kini semakin berkembang sejajar dengan keperluan semasa dan melalui penjenamaan semula jabatan melalui Tagline  "ARKIB : Intipati Kepada Masa".

Kedatangan tahun 2018 tentunya akan memberi satu lagi cabaran baharu kepada seluruh warga arkib. Sebagai sebuah organisasi yang berperanan sebagai peneraju pengurusan rekod dan arkib digital, saya menyeru seluruh warga arkib untuk terus mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dan mengamalkan serta membudayakan amalan kerja yang cemerlang dan berintegriti tinggi agar agenda utama jabatan pada tahun 2018 dapat dilaksanakan dengan jayanya selaras dengan aspirasi Transformasi Negara 2050 (TN50).

Justeru itu, pelaksanaan agenda Arkib Negara Malaysia tahun 2018 perlulah dirancang dengan strategi yang lebih kreatif dan inovatif bagi mencapai visi dan misi jabatan. Ini adalah sangat penting agar segala tindakan yang dilakukan akan lebih sistematik, teratur dan membentuk halatuju yang lebih jelas dan seterusnya memberi faedah kepada masyarakat. Pelaksanaan agenda 2017 yang berjaya perlu diteruskan serta ditambah baik manakala kelemahan yang dikenalpasti perlu diperbaiki dan kegagalan dijadikan teladan sebagai panduan pada masa hadapan.

Akhir kata dengan semangat tahun baru marilah seluruh warga arkib mempertingkatkan keazaman untuk membawa Arkib Negara Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih tinggi. Dengan usaha yang lebih gigih, dan displin yang tinggi serta berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni, kita akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun 2018. Bersama-samalah kita berusaha memperkasakan Arkib Negara Malaysia agar sentiasa dihormati dan terus relevan dalam perkhidmatan awam di negara ini.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2018

Sekian, terima kasih.

"ARKIB : Intipati Kepada Masa"
 
DATUK AZEMI ABDUL AZIZ
KETUA PENGARAH

ARKIB NEGARA MALAYSIA