Perutusan Tahun Baru 2019 Ketua Pengarah Perutusan Tahun Baru 2019 Ketua Pengarah

En. Azemi Bin Abdul Aziz

 

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum Warrahmatullah Hiwabarakatuh, Salam Sejahtera,

dan Salam “Arkib: Intipati Kepada Masa”

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat tahun baru 2019 kepada seluruh warga Arkib Negara Malaysia (ANM) dengan doa dan harapan agar kita semua mendapat suntikan semangat baru dalam usaha meneruskan tugasan yang telah dirancang mahupun yang bakal dilaksanakan pada tahun ini. Semoga tahun 2019 ini membuka lembaran yang lebih gemilang untuk kita semua dalam melaksanakan agenda perancangan kerja tahun 2019 dengan lebih berkesan dan dinamik.

 

Sepanjang tahun 2018, pelbagai pencapaian telah dicapai oleh ANM yang seharusnya kita berbangga dan kongsi bersama. Mengimbas kembali pencapaian sepanjang tahun lalu, saya amat bersukacita memaklumkan bahawa kejayaan dan pencapaian yang kita perolehi dalam pelaksanaan fungsi utama ANM adalah hasil daripada semangat kerjasama serta komitmen yang tinggi dan usaha gigih yang berterusan oleh setiap warga ANM. Segala kenangan manis dan pahit sepanjang 2018 perlu dijadikan iktibar dan pedoman yang berguna untuk memastikan peranan ANM sebagai agensi peneraju transformasi pengurusan rekod yang utama di negara ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

 

Kedatangan tahun 2019 sudah tentunya akan memberi cabaran baharu kepada seluruh warga ANM. Selari dengan agenda memperkasakan sektor Perkhidmatan Awam melalui reformasi ke arah mensejahterakan perkhidmatan awam, warga ANM perlu sensitif dengan kehendak rakyat Malaysia yang semakin peka dan mempunyai espektasi yang kian meningkat terhadap sistem penyampaian Perkhidmatan Awam. Memetik ungkapan Datuk Seri Dr. Ismail bin Haji Bakar, Ketua Setiausaha Negara bahawa “Perkhidmatan awam sebagai institusi pelaksana harus sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyantuni rakyat. Jurang di antara perkhidmatan awam dan rakyat perlu ditutup supaya perasaan pemilikan (sense of ownership) dapat diresapi oleh semua lapisan masyarakat. Dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, dan bukan hanya menjadi seorang pengikut. Zaman di mana penjawat awam perlu menuruti arahan membuta tuli telah berlalu”.

 

Sehubungan itu saya menyeru agar warga ANM sentiasa bersedia melaksanakan transformasi secara komprehensif merangkumi aspek pemikiran, sikap dan budaya kerja bersesuaian dengan intipati program reformasi perkhidmatan awam selaras dengan era Malaysia baharu. Dalam merangka dan mempersiapkan diri untuk melaksanakan agenda visi dan misi jabatan pada tahun 2019, saya berharap seluruh warga ANM untuk terus mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dan mengamal serta membudayakan amalan kerja yang cemerlang dan berintegriti tinggi. Kejayaan akan menjadi realiti sekiranya setiap warga ANM memainkan peranan dan tanggungjawabnya dengan baik.

 

Akhir kata tahun 2018 telah meninggalkan kita. Namun begitu, usaha-usaha yang telah dirancang akan tetap diteruskan. Ucapan jutaan terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada seluruh warga ANM yang telah melaksanakan segala tugas yang diamanahkan dengan cemerlang sepanjang tahun 2018. Bersama-samalah kita berusaha memperkasakan ANM agar sentiasa disegani dan terus dihormati serta berdaya saing dalam perkhidmatan awam di negara ini.

 

Sekian.

 

SELAMAT TAHUN BARU 2019 KEPADA SELURUH WARGA ANM

 

YBHG DATUK AZEMI ABDUL AZIZ

KETUA PENGARAH

ARKIB NEGARA MALAYSIA