Pilihan Raya Umum Kedua tahun 1964 Pilihan Raya Umum Kedua tahun 1964

PENGUMUMAN TARIKH MENGUNDI
Pengumuman rasmi tarikh Pilihanraya Umum Kedua dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tuan Haji Mustapha Al-Bakri. Pengumuman dibuat setelah menerima notis pembubaran Dewan Negara dan Parlimen.Kenyataan itu berbunyi; "Setelah menimbangakan segala keadaan yang berlaku, maka Suruhanjaya PilihanRaya telah memutuskan bahawa hari penamaan calon akan diadakan pada hari Sabtu, 21 Mac 1964, Sabtu dan hari Mengundi pula ialah pada hari Sabtu, 25 April 1964. Tempat penamaan calon akan diumumkan dalam suatu notis pilihanraya yang akan diterbitkan dan disiarkan tidak lama lagi". Pilihanraya kali ini diadakan serentak bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. – 3.3.1964

RUKUN KEMPEN PILIHAN RAYA
Akhbar melaporkan bahawa semua pemimpin parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Kedua ini akan bersidang pada hari Sabtu, 4 April 1964. Sidang anjuran Suruhanjaya PilihanRaya ini bertujuan untuk mengesahkan ‘Rukun Kempen Pilihan Raya". Antara kandungan rukun ini ialah:

  1. Serangan peribadi mestilah dihindarkan
  2. Debat atas pentas depan orang ramai hendaklah dielakkan. Cabaran-cabaran tidak boleh dibuat untuknya. Parti-parti lawan hanya boleh menjawab pada pentasnya sendiri.
  3. Taktik membawa beramai-ramai penyokong dari luar kawasan pilihanraya hendaklah juga dihindarkan
  4. Jangan menggunakan kongsi-kongsi gelap untuk berkempen. --31.3.1964

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA DI RADIO
Radio Malaysia di Kuala Lumpur dan Singapura dilaporkan akan menyiarkan keputusan-keputusan pilihanraya mulai jam 12 tengah malam, Ahad 25 April 1964. Siaran tersebut akan diteruskan sehingga pukul tiga atau empat pagi sehingga sesebuah parti mendapat suara majoriti. Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Radio, Encik Dol Ramli. Keputusan Pilihanraya ini akandisiarkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil melalui saluran siaran masing-masing. Siaran ini dipancarkan melalui stesen radio di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bharu, Kuala Lumpur dan Singapura.- 22.4.1964

MENUNGGANG GAJAH JUMPA PENGUNDI
Datin Hajah Fatimah binti Haji Hashim, Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya menunggang gajah keserata kampung di kawasan kempennya iaitu Jitra-Padang Terap.Sambutan paling meriah telah diberikan oleh penduduk ketika Datin Fatimah ke kampung Pring, Kodiang, kira-kira 20 batu dari Alor Setar. Beliau menunggang gajah dengan diiringi oleh tiga ekor gajah lain beserta dengan pukulan gendang dan tiupan serunai. Tibanya di Kampung Pring beliau disambut dengan Pencak Silat. Datin Fatimah menyifatkan pengalaman tersebut seperti ‘PengantinBaru' kerana menaiki gajah dengan iringan bunyi-bunyian. -23.4.1964

"UNDILAH DENGAN FIKIRAN JANGAN DENGAN NAFSU"
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Dato' Haji Mustapha Al-Bakri dalam siaran akhbar bertarikh Khamis, 23 April 1964, menyeru seluruh rakyat supaya mengundi dengan ‘fikiran dan pertimbangan' bukan dengan ‘nafsu atau perasaan'. Beliau juga menyeru supaya rakyat yang layak mengundi benar-bena rmenggunakan kesempatan mengundi pada 25 April nanti "..Jangan sampai ada yang tidak pergi mengundi, sebagai rakyat di negara demokrasi tiap-tiap orang layak mengundi wajib pergi mengundi'. "..seseorang pengundi hendaklah memikirkan masak-masak akan kesanggupan dan kelayakan calon yang hendak di undinya nanti'. Merupakan pesanan terakhir daripada beliau kepada semua pengundi. - 24.4.1964

SERUAN YANG DI-PERTUAN AGONG
DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail menyeru seluruh rakyat supaya memilih dengan bijak pada hari mengundi, Sabtu, 25 April 1964, agar  kerajaan yang berkuasa kelak dapat memberi kemakmuran yang lebih besar kepada dan negara. Baginda menyampaikan seruan tersebut dalam titah selepas sembahyang sunat Hari Raya Haji bertempat di halaman Istana Negara pada Khamis, 23 April 1964.Terdahulu daripada itu, Seri Paduka Baginda telah menyatakan rasa bangga dengan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan sejak empat tahun sebelumnya.' – 24.4.1964

Mukasurat: 1  2