Pilihan Raya Umum Keempat tahun 1974 Pilihan Raya Umum Keempat tahun 1974

PEMBUBARAN PARLIMEN
31 Julai 1974, Parlimen Malaysia yang ketiga dan Dewan-dewan Undangan Negeri, kecuali di Sabah dibubarkan.Satu kenyataan telah dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menandatangani pengisytiharan pembubaran Parlimen.Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya juga telah dimaklumkan mengenai pembubaran Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri. Tarikh bagi penamaan calon dan mengundi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan raya.- 31.7.1974

21 SIMBOL
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)pada 1 Ogos 1974, mengumumkan 21 simbol yang akan digunakan oleh parti politik dan calon bebas dalam Pilihan Raya Umum kali keempat ini. Barisan Nasional menggunakan simbol dacing, Parti Kesatuan Insaf Tanah Air atau KITA akan menggunakan simbol Pokok Kelapa Sawit dan Parti Progresif Rakyat Bebas (PPP) menggunakan simbol Rumah Api. Lain-lain parti akan menggunakan simbol masing-masing iaitu Pekemas (Matahari terbit), DAP (roket), Parti Sosialis Rakyat Malaya (Benteng) dan SNAP menggunakan simbol perisai. Sembilan jenis simbol juga disediakan oleh SPR untuk calon bebas dan empat lagi simbol simpanan.Simbol-simbol calon bebas ialah bas, basikal, kapal terbang, anak kunci, dian (lilin), buku, wau dan kepala harimau.Empat lagi sebagai simbol simpanan untuk calon-calon bebas ialah motokar, lampu, lampu picit dan bunga.-  2.8.1974

FILEM RENCANA KHAS PILIHAN RAYA
Sebuah filem rencana khas terbitan Filem Negara Malaysia dilaporkan akan ditayangkan sempena Pilihan Raya. Ketua Pengarah Penerangan, Encik Ahmad Nordin memaklumkan bahawa unit-unit penerangan bergerak akan menayangkan filem tersebut mulai hari penamaan calon pada 8 Ogos 1969. Filem yang akan ditayangkan ke seluruh negara itu menerangkan akan hak asasi bagi warganegara yang berumur lebih daripada 21 tahun dan pentingnya hak tersebut digunakan. Filem rencana itu juga akan menerangkan kepada orang ramai mengenai tatacara pembuangan undi yang betul dan perkara-perkara yang dilarang semasa pilihan raya bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar.  2.8.1974

HEBAHAN PILIHAN RAYA
Ketua Pengarah Penerangan, Encik Ahmad Nordin memaklumkan kepada Bernama pada 1 Ogos 1974 bahawa Jabatan Penerangan telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya dan akan menjalankan kempen menyedarkan para pengundi supaya keluar mengundi. Berjuta-juta risalah mengenai Pilihan Raya diterbitkan oleh Jabatan Penerangan dengan persetujuan Suruhanjaya Pilihan raya untuk diedarkan kepada orang ramai mulai daripada hari penamaan calon.Sementara itu, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) telah mula menyiarkan lagu khas mengenai pembuangan undi.-  2.8.1974

PENGUNDI POS
Seramai 45,000 pengundi pos akan mengundi calon-calon Parlimen dan Dewan Negeri melalui undi pos dalam pilihan raya keempat ini. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Encik Hassan Ibrahim memaklumkan, daripada jumlah itu 5,000 orang pengundi berada di luar negara manakala 40,000 lagi terdiri daripada pengundi dalam negara. Pengundi-pengundi yang berada di luar negara terdiri daripada pelajar, pegawai diplomatik Malaysia di luar negara dan pengundi yang telah berdaftar tetapi tidak dapat kembali mengundi.Sementara 40,000 pengundi pos dalam Negara pula terdiri daripada anggota tentera. Kertas-kertas undi pos akan dihantar pada 10 Ogos dan perlu dikembalikan dalam tempoh 15 hari. - 2.8.1974

KERUSI MENANG TANPA BERTANDING
Sebaik sahaja penamaan calon ditutup pada tengah hari 8 Ogos 1974, Parti Barisan Nasional telah memenangi 90 kerusi tanpa bertanding.47 daripadanya merupakan kerusi Parlimen dan 43 lagi, kerusi Dewan Undangan Negeri. Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn, serta lapan orang Menteri Kerajaan Pusat antara calon-calon yang menang tanpa bertanding bagi kawasan Parlimen.  Ketua Menteri dan Menteri Besar yang menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri ialah Tun Datu Mustapha bin Datu Harun (Sabah), Haji Ghani Ali (Melaka), Datuk Haji Othman Saat (Johor) dan Dato' Syed Ahmad Shahabuddin (Kedah).  Manakala antara Menteri Kabinet yang menang tanpa bertanding ialah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie (Lipis); Menteri Kebajikan Am, Puan Hajah Aishah Ghani (Kuala Langat);Menteri Kerja Raya dan Tenaga, Datuk Abdul Ghani Gilong (Kinabalu)dan Menteri Tak Berjabatan yang juga Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Encik Mohd Khir Johari.  9.8.1974

TUN RAZAK CIPTA SEJARAH
Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein menempa sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang memenangi pilihan raya tanpa bertanding. Beliau telah diumumkan memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding selepas penamaan calon pada 8 Ogos 1974 ditutup pada jam 12.30 tengah hari. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pilihan Raya, Encik Mokhtar Awang. Kemenangan itu berikutan bekas pegawai kerajaan, Encik Zulkifli Haji Ahmad yang mengumumkan akan bertanding untuk menentang Tun Abdul Razak menarik diri di saat akhir atas sebab-sebab peribadi. Terdahulu daripada itu, Tun Abdul Razak yang berbaju batik lengan panjang diiringi oleh Toh Puan Rahah tiba di pejabat penamaan calon kira-kira jam 9.30 pagi bagi mengemukakan kertas pencalonan. 9.8.1974

WANITA DITENTANG OLEH LELAKI
Kesemua calon wanita dalam Pilihan Raya 24 Ogos 1974 berlawan dengan calon lelaki kecuali Puan Hajah Aishah Ghani yang menang tanpa bertanding di kawasan Parlimen Kuala Langat. Calon ini termasuklah 15 orang daripadaparti Barisan Nasional. Antara calon tersebut ialah Puan Salimah Haji Sallah yang ditentang oleh empat orang calon lelaki iaitu dua calon daripada Parti Bebas, dan masing-masing satu calon daripada parti DAP dan Pekemas untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri. Manakala calon wanita lain ialah Tengku Norasiah Tengku Ahmad, Wan Zainab Abu Bakar dan Datin Fatimah Abdul Majid, masing-masing akan bertanding dengan seorang calon lelaki untuk merebut kerusi Parlimen Tumpat, Sungai Petani dan Semerah.  9.8.1974

PERTARUNGAN KELUARGA
Pilihan Raya Umum Keempat juga menyaksikan dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu satu di negeri Johor dan satu lagi di Terengganu sebagai perebutan kerusi antara keluarga. Di kawasan Dewan Undangan Negeri Endau, Johor, Calon Barisan Nasional, Encik Abdul Rahim Sabri, bekas ahli Parlimen Johor Timur (Sekarang Tenggaroh) ditentang oleh bapa saudaranya, Asmuni  Puteh, calon dari Pekemas. Manakala di kawasan Dewan Undangan Negeri Telemong, Terengganu menyaksikan pertarungan antara adik dan abang. Calon Barisan Nasional, Mohamad Saidi ditentang oleh abangnya Saleh Mohamad yang bertanding atas tiket Parti Sosialis Rakyat Malaya, dua orang calon bebas turut bertanding di kawasan ini. -  9.8.1974

SAMBUTAN BAGAI PENGANTIN
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn dan isteri Datin Suhaila Noh diberi sambutan bagai sepasang pengantin oleh penduduk Pekan Parit Raja, Batu Pahat, Johor semasa kunjungannya ke kawasan itu pada Jumaat, 9 Ogos 1974. Acara sambutan itulah adalah sebahagian daripada sambutan kemenangan Datuk Hussein yang menang tanpa bertanding dalam kawasan Parlimen Sri Gading pada hari penamaan calon 8 Ogos 1974.Lebih 1,000 orang penduduk termasuk kumpulan kompang telah mengarak Datuk Hussein dan isteri melalui bandar Batu Pahat menuju ke rumah UMNO.Setiba di rumah UMNO, mereka ditabur dengan beras kunyit dan bunga, kemudiannya disandingkan bagi membolehkan penduduk menyaksikan pasangan yang diraikan itu.-  10.8.1974

Mukasurat: 1  2