Pilihan Raya Umum Ketiga tahun 1969 Pilihan Raya Umum Ketiga tahun 1969

SEJUTA RISALAH UNTUK PANDU PILIHAN RAYA
Akhbar melaporkan bahawa lebih sejuta risalah panduan mengundi akan disebarkan ke seluruh negara menjelang pilihan raya pada pertengahan bulan Mei 1969. Risalah terbitan dan edaran Jabatan Penerangan itu mengandungi empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Tamil.  Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ahmad bin Perang, memaklumkan bahawa SPR akan menampal lebih 15,000 poster dan mengedarkan filem penerangan mengenai pilihan raya bagi menyeru orang ramai keluar mengundi. Penanyangan filem penerangan itu akan dibuat ke seluruh negara melalui Jabatan Penerangan dan panggung wayang. Filem yang menunjukkan tata cara mengundi yang betul itu diselenggarakan oleh Jabatan Filem Negara diterbitkan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil manakala untuk Malaysia Timur, bahasa Kadazan dan Iban. -  14.3.1969

PEMBUBARAN PARLIMEN DAN DEWAN NEGERI
DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,  Tuanku Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin secara rasmi mengumumkan pembubaran Parlimen dan Dewan-dewan Negeri berkuatkuasa 20 Mac 1969 kecuali Kelantan pada 31 Mac 1969. Mengikut perlembagaan, Pilihan raya Umum di Malaysia Barat hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran diumumkan, sementara Malaysia Timur pula 90 hari-  21.3.1969

PENETAPAN HARI MENGUNDI
Hari mengundi bagi pilihan raya Parlimen dan Dewan negeri-negeri kecuali  untuk negeri Sabah ditetapkan pada hari Sabtu, 10 Mei 1969. Hari mengundi di Sabah pula ditetapkan pada 10 Mei hingga 25 Mei 1969, manakala Sarawak pada 10 Mei hingga 7 Jun 1969.Hari penamaan calon bagi pilihan raya Parlimen dan negeri kecuali Kelantan ialah pada Sabtu, 5 April 1969.Hari penamaan calon bagi negeri Kelantan ditetapkan pada Sabtu, 12 April 1969. Pilihan raya bagi Dewan Negeri Sabah tidak diadakan kerana hayat Dewan Negeri masih berbaki  tiga tahun lagi untuk dibubarkan. – 21.3.1969

RUKUN ADAB PILIHAN RAYA 1969
Seramai 24 orang wakil daripada 13 buah parti politik di Malaysia Barat dan Timur pada 27 Mac 1969 telah bersetuju menerima ‘Rukun Adab Pilihan raya 1969' yang mengandungi 11 perkara. Persetujuan itu dicapai dalam sidang tertutup yang diadakan oleh parti-parti tersebut di bilik mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya.Rukun 11 perkara yang dipersetujui itu merupakan panduan untuk diamalkan bagi parti-parti politik dalam Pilihan Raya Umum Ketiga. Antara 11 perkara yang dipersetujui di dalam rukun itu ialah

  • pemimpin-pemimpin parti politik, calon-calon, wakil-wakil calon, penyokong-penyokong, pembantu-pembantu dan pekerja-pekerja parti hendaklah mengamalkan adab yang boleh memberi tauladan.
  • Kecaman-kecaman atas peribadi sesorang calon itu hendaklah setakat kegiatan-kegiatan politiknya sahaja.-   28.3.1969

SPR GUNA EJAAN BAHARU
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menggunakan ejaan baharu Melayu-Indonesia dalam segala urusannya termasuklah risalah pilihan raya.Ini menjadikan SPR sebagai badan kerajaan ulung yang menggunakan ejaan baharu.Penggunaan ejaan baharu ini telah dilakukan berikutan daripada persetujuan antara Malaysia dan Indonesia pada tahun 1968.- 30.3.1969

HARI PENAMAAN CALON
Hari penamaan calon bagi pilihan raya tahun 1969 berlangsung pada 5 April 1969, bagi kerusi Parlimen di kesemua negeri seluruh Malaysia dan Dewan-Negeri kecuali di Sabah dan Kelantan. Hari penamaan calon di Kelantan ialah pada 12 April.Kelewatan ini kerana pembubaran Dewan Negeri Kelantan adalah lewat daripada negeri-negeri lain. Kira-kira 1,500 orang calon telah memajukan kertas pencalonan masing-masing untuk merebut 144 kerusi Parlimen dan 330 kerusi Dewan Negeri. Proses penamaan calon dilaporkan berlangsung sehingga jam 12 tengah hari, dan dilanjutkan sehingga jam 1.30 petang bagi mengemukakan bantahan.  Pada hari penamaan calon Parti Perikatan telah memenangi 19 kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Negeri, daripada jumlah 19 kerusi Parlimen itu, 9 kerusi dimenangi di Malaysia Barat dan 10 lagi di Sabah. Manakala kesemua 11 kerusi Dewan Negeri yang dimenangi Perikatan ialah dari Malaysia Barat..-6.4.1969

KEMPEN PULAU PILIHAN RAYA
Akhbar Utusan Malaysia terbitan 9 Mei 1969, melaporkan bahawa Parti Buroh Malaysia telah memperhebatkan kempen menyeru orang ramai supaya memulaukan pilihan raya yang akan diadakan pada 10 Mei 1969. Kempen itu dijalankan dengan menyebarkan lebih banyak risalah yang menyeru orang ramai supaya jangan keluar membuang undi.Parti Buroh juga telah menggunakan isu pembunuhan seorang anggota Parti Buroh di Kepong sebagai salah satu daripada gerakan kempen mereka.Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Parti Buroh menyifatkan pembunuhan itu sebagai usaha bersama yang dijalankan oleh Malaysia dan Singapura, untuk mengekalkan kedudukan imperialis Amerika-British di negara ini..-9.5.1969

NASIHAT POLIS DAN BOMBA
Laporan akhbar menjelang hari mengundi menyiarkan nasihat Pasukan Polis dan Jabatan Perkhidmatan Bomba kepada orang ramai.Setiausaha Polis Negara, Encik Burhan Kuntom dalam satu kenyataan menyebut, Orang ramai hari ini dinasihatkan supaya "…jangan meninggalkan rumah mereka tanpa kawalan ketika ketika mengundi 10 Mei nanti. Sekiranya seorang isteri pergi mengundi bersama jirannya maka suaminya mahulah menunggu sehingga isterinya pulang barulah ia keluar mengundi. Pencuri-pencuri mungkin mengambil kesempatan untuk memecah masuk rumah ketika penghuni-penghuni itu keluar mengundi.."Manakala jurucakap daripada Jabatan Perkhidmatan Bomba pula, menasihatkan para ibu "…jangan membiarkan mancis api dilantai atau di tempat rendah di rumah, dengan membiarkan mancis api akan dapat diambil oleh anak-anak kecil untuk bermain-main yang akan kelak melarat menjadi kebakaran. Sebelum pergi mengundi, ibu-ibu mahulah memadamkan dapur-dapur dan api yang dipasang di pelita..". - 9.5.1969

DIDUGA TIMBULKAN KEKACAUAN
Pada 8 Mei 1969, Setiausaha Agung Perikatan, Tan Sri T. H Tan dalam satu kenyataan dalam akhbarmenjangka akan berlaku kekacuan. Kekacauan dijangkaakan ditimbulkan oleh penyokong komunis dalam Parti Buroh pada hari pembuangan undi.Kekacauan itu bertujuan untuk menganggu perjalanan Pilihan Raya pada 10 Mei 1969. Kawasan yang dijangka  mungkin berlaku kekacauan ialah Jinjang, Batu, Bangsar, Mengelembu dan beberapa kawasan lain yang dulunya menjadi kubu kuat Parti Buroh. Menurut Tan Sri T.H. Tan, pihak polis telah bersiap sedia untuk mengambil tindakan bagi menghalang kejadian yang tidak diiingini ketika hari pembuangan undi. .- 9.5.1969

JANGAN DENGAR KHABAR ANGIN
Ketua Pegawai Polis Pulau Pinang, Encik Albert Mah dalam satu kenyataan yang disiarkan di akhbar bertarikh 9 Mei 1969, menyeru pengundi-pengundi di Pulau Pinang supaya keluar membuang undi dengan lebih awal untuk mengelakkan serbuan di saat akhir. Beliau juga memberi amaran kepada para pengundi agar tidak mendengar berita-berita khabar angin yang mengatakan bahawa negeri Pulau Pinang akan dikenakan perintah berkurung pada hari pembuangan undi. Jelas beliau, khabar angin itu tidak benar.Pihak berkuasa pasukan Polis sentiasa menjaga keselamatan orang ramai di seluruh negeri ketika hari pembuangan undi.Orang ramai juga diminta supaya bekerjasama dengan pihak polis sekiranya sebarang kejadian tidak diingini berlaku..- 10.5.1969

Mukasurat: 1  2