Pilihanraya Umum Pertama 1955 Pilihanraya Umum Pertama 1955

>> Kembali

 

Pilihan raya merupakan salah satu asas utama dalam pengamalan sistem demokrasi di sesebuah negara yang merdeka. Bagi Persekutuan Tanah Melayu, peruntukan untuk mengadakan pilihan raya telah termaktub dalam Perjanjian Persekutuan 1948. Ia merupakan tindakan awal pihak British dalam proses menyerahkan secara beransur-ansur status berkerajaan sendiri kepada Tanah Melayu.


Sebaik sahaja Akta Majlis Berkuasa Tempatan diluluskan oleh kerajaan, pilihanraya yang terawal di Tanah Melayu telah diadakan pada tahun 1951 iaitu Pilihanraya Bandaran di Pulau Pinang. Pilihan raya Bandaran ini jelas bertujuan untuk memberi pengalaman politik kepada penduduk Tanah Melayu sebelum pilihan raya peringkat negeri dan persekutuan diadakan bagi memilih kerajaan sendiri.


Susulan daripada itu, pilihan raya peringkat perbandaran yang kedua pula diadakan pada 16 Februari 1952, iaitu Pilihanraya Bandaran Kuala Lumpur . Pilihan raya kali ini telah menyaksikan kelahiran satu kerjasama politik di antara parti-parti perkauman di negara ini bagi memenangi pilihan raya yang bakal merintis jalan mencapai kemerdekaan buat negara ini.


Pilihan raya umum pertama persekutuan ( a ,b ,c ,d ,e,) telah diadakan pada 27 Julai 1955. Parti Perikatan di bawah YTM Tunku Abdul Rahman mengemukakan 66 calon. Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn Jaafar mengemukakan 33 calon, manakala Parti Islam Se-Malaya (PAS) pula 11 calon. Parti-parti lain yang turut mengambil bahagian ialah Parti Buruh, Parti Kemajuan Perak (kemudian menjadi Parti Kemajuan Rakyat), Pertubuhan Kebangsaan Perak dan Pertubuhan Melayu. Dalam pilihan raya umum ini, Parti Perikatan yang terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaya (MCA) dan Kongres India Se-Malaya (MIC) telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan Perikatan memberi kedudukan yang sangat selesa untuk membentuk kerajaan.

 


Kemenangan Parti Perikatan ini juga menunjukkan bahawa dasar perjuangan mereka sesuai dengan kehendak penduduk Tanah Melayu. Lebih daripada 80 peratus pengundi memberi sokongan mereka kepada Parti Perikatan.


Dalam kempen pilihan raya umum 1955, Parti Perikatan telah menggunakan manifesto berikut iaitu mencapai kemerdekaan dalam masa empat tahun, mewajibkan pendidikan kepada semua kaum, menjadikan perkhidmatan awam bercorak tempatan, menjaga hak asasi manusia serta melindungi hak Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan. Sesungguhnya manifesto ini telah berjaya menawan hati pengundi sehingga terbukti dengan kejayaan Parti Perikatan memenangi hampir 100% kerusi yang dipertandingkan.


Dengan kemenangan Parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, YTM Tunku Abdul Rahman Putra sebagai pemimpin Parti Perikatan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama. Pada 31 Julai 1955, sebuah Jemaah Menteri telah dibentuk dengan persetujuan Pesuruhjaya Tinggi British. Di atas usaha gigih parti ini, Persekutuan Tanah Melayu berjaya memperoleh kemerdekaan dalam tempoh dua tahun selepas Perikatan memenangi pilihanraya Persekutuan tersebut.