Prof. Datuk Dr. Zainal Bin Kling Prof. Datuk Dr. Zainal Bin Kling

 Prof. Datuk Dr. Zainal Bin Kling

   Prof. Datuk Dr. Zainal bin Kling dilahirkan pada 27 November 1944 di Negeri Melaka pada zaman penamat pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Beliau telah membesar dalam suasana kampung dan bersekolah Melayu pada tahun 1950. ‘Sekolah Melayu' - satu-satunya bentuk persekolahan yang berada di hampir semua perkampungan Melayu. Hanya setakat darjah enam rendah, anak-anak Melayu akan sentiasa menjadi buruh, petani, nelayan atau polis dan tentera yang menyabung nyawa demi keselamatan semua orang iaitu berada di lapisan bawah masyarakat. Itulah yang dirancang oleh penjajahan Inggeris, kecuali beberapa orang yang menjadi pegawai dan pekerja rendah di jabatan kerajaan.

   Ura-ura kemerdekaan dan kesedaran sebilangan kecil pembesar dan pegawai Melayu seperti (Tun) Abdul Razak yang menjadi Menteri Pendidikan dengan ‘Laporan Razak' pada tahun 1955, membolehkan beliau masuk ke ‘Sekolah Menengah Melayu' melalui eksperimen ‘remove class' pada tahun 1956 di Government English School, Pasir Putih, Ipoh. Inilah usaha pertama penubuhan Sekolah Menengah Melayu yang selama ratusan tahun pendidikan Melayu hanya setakat sekolah rendah. Walaupun telah ada sistem ‘SMC' (Special Malay Class) yang dimulakan sebelum perang namun aliran ini hanya memasukkan murid-murid Sekolah- sekolah Melayu ke Government English School.

   Sekolah Menengah Melayu itu kemudian menjadi Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Tiger Lane, Perak sebuah sekolah moden yang mengabadikan nama DYMM Yang DiPertuan Agong Pertama. Dari anak kampung bersekolah Melayu yang amat daif kepada yang termoden dapat membuka manfaat kepada beliau hingga tingkatan enam dan masuk ke Universiti Malaya pada tahun 1964. STAR memang menjadi bintang terang di langit bangsanya untuk memungkinkan ribuan anak Melayu naik dalam tahap-tahap pendidikan, yang tidak lagi hanya keluar menjadi penghuni kelas daif dan melarat. Demikianlah kehidupan di asrama selama satu dekad di sekolahnya membesarkan Zainal dalam belenggu kejam - vicious circle - penindasan pendidikan Melayu.

   Beliau kemudian menyambung pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (B.A.Hons) pada tahun 1964-1966/67, Ijazah Sarjana Sastera (M.A.Hons) di universiti yang sama tahun 1967-1969-70 dan seterusnya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Ph. D di University of Hull, England tahun 1970-1973/74.

   Sejarah kerjaya Prof. Datuk Dr. Zainal bermula ketika beliau ditawarkan menjadi tenaga pengajar (tutor) di UM dari Jun 1967- September 1969, kemudian menjadi Pembantu Pensyarah dari Februari 1974- Disember 1977, dianugerahkan gelaran Prof. Madya dari Disember 1977-1992 dan beliau dilantik sebagai Profesor penuh pada 1992.

Mukasurat: 1  2