Puan Sri Datin Hajah Puteh Mariah Ibrahim Rashid Puan Sri Datin Hajah Puteh Mariah Ibrahim Rashid

  Puan Sri Datin Hajah Puteh Mariah adalah seorang tokoh politik wanita yang pertama berjuang untuk kemerdekaan. Beliau dilahirkan pada 20 Disember 1914 di Kuala Kurau, Perak. Puan Sri Datin Hajah Puteh Mariah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dan Inggeris. Ketika Perang Dunia Kedua meletus, beliau tidak dapat meneruskan pelajaran. Beliau berkahwin dengan Tan Sri Datuk Zainal Abidin bin Abas ketika berusia 16 tahun.

  Puan Sri Datin Hajah Puteh Mariah mula menceburkan diri dalam politik dengan menjadi ahli dalam Perikatan Melayu Perak dan mewakili pertubuhan tersebut ke Kongres Melayu Pertama yang membawa kepada penubuhan UMNO di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada tahun 1946. Sebagai wakil wanita dalam kongres itu, beliau telah dilantik oleh Perikatan Melayu Perak sebagai pegawai yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal wanita atau lebih dikenali sebagai Kaum Ibu UMNO di samping menggalakkan lebih ramai lagi kaum ibu menjadi ahli UMNO. Selepas UMNO ditubuhkan, beliau dilantik menjadi wakil UMNO dalam menganggotai Jawatankuasa Kerja Perlembagaan pada tahun 1947. Jawatankuasa ini adalah bertanggungjawab di dalam penyediaan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Penglibatan beliau di bidang politik ini bertambah serius apabila beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Perundangan dan Jawatankuasa Tetap Persekutuan mengenai kewangan tahun 1948 hingga 1955. Di samping bergiat untuk Persekutuan, beliau juga menjadi ahli dalam Majlis Perundangan Negeri Perak dalam tahun 1948-1949. Pada tahun 1948 juga, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Pertama Kaum Ibu UMNO Malaya.

  Penglibatan beliau di dalam UMNO terhenti apabila Allahyarham Datuk Onn Jaafar menubuhkan Parti Negara. Beliau turut sama menyertai Parti Negara dan pada tahun 1955, beliau dilantik menjadi Setiausaha Agung Parti Negara sehingga tahun 1956. Antara tahun 1958 hingga 1960, beliau dilantik sebagai Pengerusi Tetap Parti tersebut. Beliau banyak menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti kebajikan dengan menganggotai beberapa pertubuhan sukarela. Sebahagian besar dari masanya dicurahkan kepada masyarakat. Di antara jawatankuasa-jawatankuasa yang pernah dianggotai oleh beliau ialah:
 

  1. Citizen's Advisory Bureau di Ipoh dalam tahun 1945-1947
  2. Jawatankuasa Kebajikan Pasukan Polis Khas daripada tahun 1948 hingga 1949 di Kuala Kubu Bharu dan menjadi Pengerusinya.
  3. Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaya daripada tahun 1957 hingga 1963 mengambil tempat Lady Mac Gillivary. Beliau adalah anak negeri yang pertama memegang jawatan tersebut.
  4. Majlis Kebajikan Pusat daripada tahun 1948 hingga 1962.
    a) 1958 - mewakili majlis ini ke Tokyo, di mesyuarat Majlis Kebajikan Mesyuarat Antarabangsa.
    b) 1961 - ke Rome, Italy dan dilantik ke Majlis Kerja.
    c) 1960 - 1962 - menjadi Naib Pengerusi
  5. Jawatankuasa Kebajikan Negeri Selangor, Ahli tahun 1950-1953, menjadi Presiden daripada tahun 1953 hingga berhenti dalam tahun 1956.
  6. Jawatankuasa Persatuan Pelajaran Dewasa Malaya daripada tahun 1950 hingga 1973.
  7. Jawatankuasa Pelajaran Dewasa Negeri Selangor daripada tahun 1951-1973.
  8. Persatuan Orang-orang Buta Malaysia, beliau adalah salah seorang pengasasnya, Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa Kerja daripada tahun 1952-1958.
    a) Menjadi Ahli Jawatankuasa Kecil bagi Persatuan Pencegah Buta dalam tahun yang sama (1952-1958).
    b) Menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kecil bagi Persatuan Kebajikan Orang-orang Buta Malaya daripada 1952-1958.
  9. Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa Kerja Perkumpulan Perempuan dalam tahun 1952.
  10. Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia - Salah seorang Pengasas dan Naib Yang Di Pertua daripada tahun 1962-1975.
  11. Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Persekutuan Tanah Melayu - Salah seorang Pengasas Pertubuhan ini yang ditubuhkan dalam tahun 1961 dan telah menjadi Naib Yang Dipertua.
    (a) 1976-1981 - mewakili Lembaga Kebajikan Perempuan Islam di Majlis Penasihat Kebangsaan mengenai Integrasi Wanita dalam pembangunan (NACIWID).
    (b) 1975 - Pengerusi dan Pengelola Muktamar yang pertama dianjurkan oleh Lembaga.
    (c) 1977 - Pengerusi Pengelola Muktamar yang kedua dianjurkan oleh Lembaga.
  12. Majlis Kebajikan Masyarakat Malaya
    a) Dalam tahun 1964, menjadi wakil dari Lembaga Kebajikan Perempuan Islam ke sidang yang diadakan.|
    b) Naib Pengerusi bagi Majlis Kebajikan Masyarakat tahun 1968.
  13. Persatuan Kanak-kanak Cacat Selangor :
    a) Menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja daripada tahun 1965-1966.
  14. Biro Bantuan Guaman - ahli daripada tahun 1971-1972.
  15. Jawatankuasa Musabaqah, Wilayah Persekutuan daripada tahun 1972 hingga 1984.
  16. Ahli Jemaah Universiti Malaya daripada tahun 1975 hingga 1984.


Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah-Wanita Di Dalam Sejarah Malaysia
24 Julai 1984
Arkib Negara Malaysia