Replika Istana Kesultanan Melaka,Melaka Replika Istana Kesultanan Melaka,Melaka

Melaka sememangnya sebuah negeri yang kaya dengan kesan-kesan sejarah tanah air. Kini tinggalan sejarah itu menjadi daya tarikan utama pelancong-pelancong berkunjung ke Melaka. Salah satu kawasan penting di bandar Melaka ialah di sekitar Bukit St. Paul, yang pada satu ketika dahulu pernah menjadi pusat Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Di sekitar bukit inilah terdapatnya Bangunan Kota Famosa, Bangunan Stadthuys dan lain-lain kesan tinggalan Portugis dan Belanda.

Malah di atas Bukit St. Paul masih terdapat kesan-kesan tapak Istana Kesultanan Melayu Melaka. Istana yang dibina di atas Bukit St. Paul atau dulunya dikenali sebagai Bukit Melaka ini, dipercayai Istana Sultan Mansor Syah merupakan sebuah Istana yang indah seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu karangan Tun Seri lanang.

Kesan-kesan sejarah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka juga terdapat di sekitar bandar Melaka seperti Perigi Raja, Makam Hang Tuah di Tanjung Keling, Makam Hang Jebat dan Hang Kasturi. Perigi Raja misalnya digali atas perintah Sultan Mansur Syah untuk isterinya Puteri Hang Li Po dari negeri China. Perigi ini terletak di kaki Bukit Cina.

Di atas kesedaran tentang pentingnya kesan-kesan sejarah ini dipelihara maka Kerajaan negeri Melaka telah mengambil daya usaha mencadangkan agar Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka didirikan dengan tujuan utamanya untuk membangun semangat dan kegemilangan zaman Empayar Melaka. Hasrat ini telah dicetuskan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Dato' Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Sehubungan dengan itu Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di bawah Pengurus Besarnya Encik Mohd. Zam Abd. Wahab telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan hasrat ini. Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, Muzium dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka telah dibentuk bagi mengkaji dan mengumpul maklumat untuk merekabentuk istana ini.

Persatuan Pelukis Melaka kemudiannya telah diberi tugas menyediakan model replika istana ini dan beberapa pengubahusian dibuat berdasarkan kepada pandangan Jawatankuasa Petugas Pelancongan. Model replika istana ini kemudiannya dipamer di pejabat Muzium bagi mendapat pandangan orang ramai tentang rekabentuk model itu. Akhirnya model ini telah diserahkan kepada Bahagian Kejuruteraan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka untuk tugas menyediakan pelan bangunan. Pembinaan bangunan istana ini bermula pada bulan Oktober 1984 dan siap menjelang pertengahan tahun 1986. Pembukaan rasmi istana ini telah dilangsungkan pada 17 Julai 1986 oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Pembinaan replika Istana Kesultanan Melayu Melaka di atas tanah seluas 0.7 hektar ini menelan belanja sebanyak RM1.4 juta. Rekabentuknya mengenengahkan kehalusan seni ukiran corak bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan tempatan yang dapat dilihat pada ukiran di dinding dan tiang istana. Selain sebagai replika Istana Kesultanan Melaka, ia juga berfungsi sebagai Muzium Budaya yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Menurut Sejarah Melayu, Istana Besar ini mempunyai 17 ruang yang panjang tiap-tiap satunya 87.5 meter dan mempunyai 40 pintu. Namun bagi tujuan pembinaan replika ini rekabentuknya diperkecilkan sedikit untuk disesuaikan dengan keluasan tapak kawasannya. Ukuran sebenar istana replika ini adalah 67.2 meter panjang, 18.5 meter tinggi dan 12 meter lebar.

Istana ini mempunyai bumbung bertingkat dengan bumbung yang pertama adalah yang terpanjang sekali berukuran 75 meter panjangnya dan 12.5 meter lebar, pada hujung setiap bumbungnya dibina melentik sedikit ke atas menyamai rekabentuk rumah Minangkabau. Istana ini ditegakkan oleh empat batang tiang seri di samping sokongan tiap-tiap yang lain. Pada bahagian hadapan istana terdapat enam buah balai yang pada masa dahulu mempunyai kepentingan tersendiri.

Peralatan khususnya kayu-kayu yang digunakan untuk membina istana ini adalah dari kayu-kayu tempatan seperti Cengal, Resak dan Nyatoh manakala atapnya diperbuat daripada kayu berlian dari Sarawak. Seperti pembinaan istana pada masa dahulu, istana ini didirikan tanpa menggunakan paku besi. Selain rekabentuknya menarik dan mempunyai pengaruh Minangkabau serta ukiran-ukiran halus yang indah bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan, replika Istana Kesultanan Melayu Melaka ini juga memuatkan bahan-bahan pameran.

Pada tingkat pertama diadakan ruang-ruang pameran termasuk di balairong seri yang menggambarkan zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka seperti menghadap Raja dan lain-lain peraturan istana. Pada tingkat kedua pula dipamerkan tempat peraduan Sultan serta bilik-biliknya manakala pada tingkat yang ketiga pula tempat simpanan segala khazanah. Pembinaan Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka ini bukan sahaja menambahkan lagi binaan sejarah tanahair tetapi juga memperlihatkan kepada masyarakat umum tentang sejarah negeri Melaka yang telah dibuka oleh orang-orang Melayu sehingga pernah muncul sebagai sebuah Pusat Empayar yang terbesar di Asia Tenggara pada abad Ke-15.