Safiah @ Sophia Binti Ibrahim Safiah @ Sophia Binti Ibrahim

 

  Safiah atau Sophia Ibrahim dilahirkan di Singapura pada 20 Januari 1948. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Melayu, Singapura. Apabila bapanya yang berkhidmat sebagai polis berpindah ke Jasin, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Rendah Jasin. Keluarganya kemudian berpindah ke Kampung Baru, Kuala Lumpur dan beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru dalam darjah lima dan enam.

  Beliau menamatkan alam persekolahan ketika berada di tingkatan empat di Bukit Bintang School. Mula melibatkan diri dalam dunia perfileman dan menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Studio Merdeka dalam tahun 1965 dan berlakon di dalam filem ‘Anak Manja' arahan Salleh Ghani. Beliau kemudiannya diberi peluang memegang peranan utama dalam filem ‘Jambatan Maut' (1965) arahan Maroeti.

  Beliau turut berlakon di dalam beberapa buah filem lain seperti ‘Dajal Suchi' (1965), ‘Bumiputra' (1965), ‘Gadis Langkawi' (1966), ‘Hujan Darah' dan ‘Jauh Di Mata'. Beliau berkesempatan berlakon di samping dan di bawah arahan P.Ramlee dalam filem ‘Ragam P.Ramlee' (1965) dan juga ‘Dr. Rushdi' (1970). Di dalam filem Ragam P.Ramlee yang menyajikan tiga cerita pendek, Safiah berlakon di dalam cerita ‘Minta Nombor Ekor'.

  Walaupun Safiah mewarisi darah seni datuknya iaitu Aman Belon seorang pelakon yang terkenal di Singapura, namun minat dan kecenderungan beliau adalah untuk menyanyi. Beliau kerap mengalunkan suaranya di Radio Malaya dengan diiringi Kumpulan Gema Pesta Muzik Parti yang dipimpin oleh Zainal Ibrahim. Selain itu, beliau juga turut berlakon dalam drama-drama televisyen.

  Bakat dan darah seni yang diwarisi oleh Safiah, turut diwarisi oleh dua orang adiknya iaitu Latiff Ibrahim dan Khatijah Ibrahim. Bukan itu saja malah, salah seorang anak lelaki beliau iaitu Hairie turut menjadi penyanyi bersama-sama kumpulan KOOL. Buat masa ini Safiah masih juga aktif di dalam bidang seni walaupun tidak selincah zaman remajanya.

Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah Tan Sri P. Ramlee
26 Mei 1999
Arkib Negara Malaysia