Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 1967 Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 1967

Sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang kesepuluh pada tahun1967, disambut secara besar-besaran sebagai memberi penghargaan kepada rakyat atas segala usaha yang telah dibuat bersama sejak kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Pelbagai acara sambutan telah diadakan bagi memenuhi hasrat Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra yang mahu menjadikannya sebagai satu sejarahkenang-kenangan yang akan diingati oleh rakyat. Satu istiadat gilang-gemilang diadakan pada 27 Ogos 1967, di perkarangan bangunan Parlimen Kuala Lumpur sempena dengan perasmian pembukaan Pesta Sepuluh Tahun Merdeka oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Pada 31 Ogos 1967, seramai 4000 orang anggota polis, tentera dan pertubuhan-pertubuhan sukarela mengambil bahagian dalam perbarisan raksasa yang diadakan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Lebih 50,000 orang menyaksikan perbarisan berwarna-warni itu yang juga merupakan acara kemuncak Pesta Sepuluh Tahun Merdeka.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin membalas tabik hormat kepada kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan yang diadakan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1967.