Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 1975 Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 1975

Sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-18 pada tahun 1975, disambut secara sederhana kerana negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi dunia. Kemuncak perayaan kemerdekaan yang bertemakan MASYARAKAT BERDIKARI ialah rapat raksasa yang diadakan di Stadium Merdeka. Tiada perbarisan raksasa diadakan, sebaliknya digantikan dengan pertunjukkan persembahan oleh anggota angkatan tentera, polis, kumpulan belia dan pelajar sekolah. Buat pertama kalinya juga dalam sejarah negara sejak mencapai kemerdekaan, satu perhimpunan gilang-gemilang dan penuh bermakna bagi kaum wanita di negara ini diadakan pada 30 Ogos 1975 di Padang kelab Selangor. Seramai 4,500 orang wanita daripada segenap lapisan masyarakat terlibat dalam perhimpunan yang diadakan bersempena sambutan hari Kebangsaan dan Tahun Wanita Antarabangsa. Selain itu, buat julung kalinya juga,penduduk di Sarawak dapat menyaksikan siaran secara langsung perayaan Hari Kebangsaan menerusi televisyen.

Pelajar-pelajar sekolah membentuk dacing sebagai lambang keutuhan dan keadilan undang-undang semasa membuat pertunjukan dalam rapat raksasa yang diadakan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1975.