Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 1987 Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 1987

Sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-30 pada tahun 1987, disambut dengan penuh semangat kemerdekaan dan setiakawan. SETIA BERSATU BERUSAHA MAJU dipilih sebagai tema sambutan kemerdekaan. Kira-kira 50,000 orang membanjiri Padang Kelab Selangor, menyaksikan acara sambutan peringkat kebangsaan ini. Seramai 18,500 orang peserta dari 12 kumpulan dan 105 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan dengan diiringi oleh 31 pasukan pancaragam. Antara acara yang menarik perhatian ialah formasi kereta proton saga ditengah-tengah padang oleh 1,500 pelajar sekolah dan beberapa pertunjukan termasuk persembahan bertajuk 'Wandarama' oleh 650 pelajar dari Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya serta senaman oleh 1,600 pelajar sekolah dari Wilayah Persekutuan. Kelainan pada acara sambutan kali ini ialah buat pertama kalinya perarakan Hari Kebangsaan turut disertai oleh pasukan berkuda Polis Diraja Malaysia.

Laungan ‘Merdeka' oleh barisan wira negara yang menentang Malayan Union yang dijemput dari serata negeri menyertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-30 pada 31 Ogos 1987 di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.