Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 1995 Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 1995

Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-38 pada tahun 1995, disambut dengan penuh bersemangat walaupun hujan lebat turun sejak awal pagi 31 Ogos 1995 di ibu negara. Semangat itu dapat dilihat dengan kesungguhan kira-kira 50,000 warga kota dan pelancong menyaksikan acara sambutan tanpa menghiraukan hujan yang turun. Semangat ini didorong oleh kecekalan lebih 14,000 peserta daripada 38 pasukan pancaragam dan 62 kontinjen, yang berdiri megah selama dua jam, walaupun dalam keadaan basah kuyup. Manifestasi tema sambutan hari kebangsaan JATIDIRI PENGGERAK WAWASAN, dipersembahkan melalui pertunjukan kreatif gimnastik oleh para peserta yang mengambil bahagian. Sambutan hari kebangsaan pada tahun ini juga mencipta sejarahnya tersendiri apabila tiga pesawat buatan Malaysia SME, MD3-160 atau lebih dikenali sebagai Aero Tiga dipertontonkan kepada orang ramai. Pesawat dua tempat duduk itu, menyertai pesawat pejuang MiG-29, Hawk 100 dan 200 milik Tentera Udara Diraja Malaysia melakukan lintas hormat.

Sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-38 yang diadakan di Padang Kelab Selangor pada 31 Ogos 1995.