Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 2003 Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan tahun 2003

Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-46 pada tahun 2003, bertemakan KERANAMU MALAYSIA diadakan di Dataran Boulevard, Putrajaya. Sambutan yang disaksikan oleh kira-kira 350,000 rakyat pelbagai lapisan serta penyertaan oleh 22,640 orang termasuk dalam acara perarakan, disifatkan sebagai luar biasa dan terbesar pernah diadakan sejak kemerdekaan negara. Sambutan yang penuh gilang-gemilang ini juga merupakan sambutan hari kebangsaan terakhir Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Antara acara yang menjadi tumpuan ialah persembahan Kumpulan Simfoni Rakyat yang membabitkan 3000 Simfoni Gendang Rakyat, 2000 kumpulan tari dan 1000 ahli koir yang mempersembahkan lagu, gerak tari dan mesej dari era Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra sehinggalah ke zaman pentadbiran Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Kemuncak sambutan ialah pertunjukan udara, pesawat pejuang F-18, Skuardon ke-18, berpangkalan di Butterworth yang menunjukkan pelbagai keupayaan penerbangan dan formasi arkrobatik.

Perarakan kereta berhias antara yang mewarnai sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-46 yang diadakan di Dataran Boulevard, Putrajaya pada 31 Ogos 2003.