Sejarah Armada Negara Sejarah Armada Negara

MENGIMBAU sejarah awal penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang akan mencecah usia 77 tahun pada 27 April ini yang sejarahnya bermula pada tahun 1934 amat menarik. Keadaan keselamatan di Tanah Melayu memaksa Kerajaan British menubuhkan The Straits Settlement Royal Naval Volunteeer Reserve (SSRNVR).  Orang-orang Melayu tempatan diambil menggangotai pasukan simpanan sukarela tentera laut ini bagi menampung pertahanan perairan Tanah Melayu.

Pegawai pemerintahnya yang pertama ialah Komander L.A.W. Johson MVO, RN dengan dibantu oleh dua orang jurulatih dari Royal Navy.  Sarjan Major Adnan bin Raji dari Straits Settlement Corps (SSVC) telah dipinjamkan untuk menjadi jurulatih kawad dengan menyandang pangkat Chief Petty Officer. Seramai 25 orang pegawai dan 150 orang anggota  pangkat lain  SSRNVR ditempatkan di ibu pejabat Singapore Volunteers Corps dan kemudian dipindahkan ke HMAS LABURNUM di Telok Ayer Basin pada tahun 1936. 

Pada tahun 1939, nama unit ini telah ditukar kepada The Malayan Royal Naval Volunteer Reserve (MRNVR). Satu cawangan baharu MRNVR telah ditubuhkan pada Oktober 1938, di Gelugor, Pulau Pinang. Pada 4 September 1939 anggota MRNVR dikerah oleh kerajaan British bertugas sepenuh masa untuk mempertahankan tanah air ekoran peperangan yang  meletus di Eropah.

Menyedari keperluan melengkapkan pertahanan laut bagi menghadapi ancaman luar serta desakan daripada anak-anak tempatan supaya pengutamaan diberi kepada kawalan keselamatan perairan negara, The Royal Navy Malay Section telah ditubuhkan pada bulan September 1939. Unit ini lebih dikenali dengan Malay Section atau The Malay Navy telah ditempatkan di HMS Pelandok di Pangkalan tentera Laut Diraja British di Singapura.

Pasukan Royal Malay Navy ditempatkan di pangkalan berhampiran dengan King George V Dry Dock yang ditauliahkan dengan nama HMS Pelandok. Lefternan Komander H. Vickers RN, Pegawai Memerintah dari Royal Navy dilantik sebagai Pegawai Memerintah Royal Navy Malay Section yang pertama. HMS Pelandok yang menjadi pangkalan dan pusat latihan Malay Navy menerima pengambilan secara berkumpulan di antara 20 dan 30 orang di antara tahun 1939 hingga 1941. Pada bulan Februari 1942, jumlah anggotanya ialah 1400 orang. Anggota ini berkhidmat di dalam cawangan kelasi, semboyan, tukang masak dan elektrik. Penambahan anggota ini ialah sebagai persediaan untuk menghadapi Perang Dunia Kedua.

Pada 11 Februari 1942, HMS Pelandok musnah diserang Tentera Udara Jepun, anak-anak kapal yang terselamat dikumpulkan bersama anggota MRNVR di HMS LABURNUM yang berpangkalan di Telok Air Basin, Singapura. Pada 26 Februari 1946, iaitu selepas tamat Perang, semua pasukan sukarela tempatan termasuk MRNVR dibubarkan. Pasukan Malay Navy pula dibubarkan pada 27 April 1947 akibat kemelesetan ekonomi.

Pada 21 Januari 1948 satu perjanjian termetarai  antara Kerajaan Tanah Melayu dan Singapura untuk menubuhkan sebuah pasukan tentera laut. Penubuhannya merupakan usaha pertahanan Semanjung Tanah Melayu dan juga Singapura yang berkuatkuasa mulai 1 Februari 1948. Pada 24 Disember 1948, Ordinan Pasukan Tentera Laut Malaya 1948, diluluskan oleh Majlis Perundangan Singapura, diikuti dengan Warta Peraturan Pasukan Tentera Laut Malaya 1949 pada 4 Mac 1949.

Pasukan Tentera Laut Malaya atau Malayan Naval Force (MNF) diperintah oleh Kapten H.E.H Nichollas. Pada 8 April 1949, Kerajaan British telah menderma sebuah landing craft tank yang kemudiannya ditauliahkan sebagai HMS PELANDOK. Pasukan Malayan Naval Force dianugerahi taraf Diraja oleh Queen Elizabeth II pada 23 Mei 1952 atas kecemerlangan perkhidmatannya. Berikutan penganugerahan, tersebut pasukan ini dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaya (Royal Malayan Navy). Upacara penukaran sepenuhnya telah diadakan pada 29 Ogos 1952 apabila bendera putih berlambangkan Royal Malayan Navy telah dikibarkan buat pertama kali menggantikan bendera biru Royal Navy (Tentera Laut Diraja British).

Pada 1 Julai 1958, Kerajaan British di Singapura menyerahkan Tentera Laut Diraja Malaya kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Detik bersejarah ini diadakan secara rasmi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaya, Woodlands Singapura pada 12 Julai 1958. Satu perjanjian penyerahan aset dalam bentuk kapal-kapal dan pangkalan telah ditandatangani oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra bagi pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Ketua Menteri, Encik Lim Yew Hock bagi pihak kerajaan Singapura.  Mulai daripada tarikh tersebut juga semua kapal dan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaya menggunakan bendera baharu dan awalan baharu, KD yang bermaksud ‘Kapal Diraja'.

Berikutan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, nama Tentera Laut Diraja Malaya dipinda ke Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).  Pada 12 Mac 1966, Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin telah berkenan mengurniakan Panji-Panji Diraja kepada pasukan TLDM sebagai tanda penghargaan dan penghormatan terhadap tugas, peranan dan pengorbanan pasukan ini kepada negara.


TLDM yang merupakan sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan tentera laut dan pelengkap dalam menjaga kedaulatan negara. Peranan utama TLDM ialah memberi perlindungan kepada nelayan tempatan dan mencegah penyeludupan serta memastikan perairan negara termasuk Zon Ekonomi Eksklusif dikawal dan dipertahankan setiap masa. Kini, TLDM dilengkapi dengan kapal perang moden yang canggih dan setanding dengan perkembangan teknologi peperangan maritim semasa.  Antara persenjataan moden yang dimilikinya adalah peluru berpandu, meriam jarak jauh dan antikapal selam.

Pada 3 September 2009, satu sejarah telah ditempa oleh negara kerana buat julung-julung kalinya kapal selam pertama negara, Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman (KD TAR) tiba di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah. Kemasukan kapal selam dalam inventori aset Armada TLDM, bukan sahaja meningkatkan keupayaan armada bahkan melengkapkan keupayaan peperangan tiga dimensi, iaitu peperangan bawah permukaan, peperangan aras permukaan dan peperangan antiudara.

KD TAR merupakan kapal selam pertama daripada dua buah kapal selam milik negara yang dilengkapi dengan aset persenjataan torpedo dan peluru berpandu jarak jauh antikapal permukaan yang boleh ditembak dari bawah permukaan air.  Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional yang dibina di Cherbourg, Perancis oleh DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia mampu mengawasi perairan negara pada ke dalaman 100 hingga 200 meter.  Pada 15 Julai 2010, kapal selam kedua negara KD Tun Razak telah tiba di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah, iaitu pangkalan bagi kapal selam negara. KD Tun Razak dikendalikan 32 anggota tentera laut yang mengikuti latihan kapal selam di Perancis selama empat tahun.

Sesungguhnya, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini turut disumbangkan oleh angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia. Pencapaian yang ditunjukkan oleh TLDM sama ada di peringkat negara mahupun di persada antarabangsa perlu dibanggakan. Kejayaan ini meletakkan armada laut kita sebagai pasukan marin berprestij setanding dengan armada laut di negara barat. Sejajar dengan cogan katanya ‘Sedia Berkorban' pastinya, TLDM akan terus cemerlang sebagai sebuah tentera laut bertaraf dunia.

Mukasurat: 1  2