Stesen Keretapi Kuala Lumpur Stesen Keretapi Kuala Lumpur

Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Hishamuddin merupakan salah satu bangunan yang tercantik di Kuala Lumpur. Kompleks bangunan stesen keretapi termasuk hotel dan ibu pejabat keretapi ini merupakan dua bangunan yang bertentangan kedudukannya antara satu sama lain. Kedua-dua buah bangunan ini telah dibina serentak pada tahun 1900an ketika rangkaian pengangkutan keretapi sedang berkembang pesat.

Stesen keretapi yang asal dan pertama merupakan bangunan sementara yang dibina daripada kayu dan atap yang sederhana bentuknya, siap pada tahun 1886. Pada ketika itu jalan keretapi yang pertama di antara Bukit Kuda, Kelang dan Kuala Lumpur telah dibuka. Stesen terawal ini terletak ke selatan dari tapak stesen sekarang. Dalam tahun 1892, sebuah bangunan baru dibina ditapak yang sama bagi menggantikan stesen yang sedia ada.

Sejajar dengan pertumbuhan dan perkembangan sistem pengangkutan keretapi dan juga bandar Kuala Lumpur, maka sebuah bangunan baru yang lebih baik dan bersesuaian bagi menampung segala keperluan telah dibina di atas tapak bangunan yang sama, menggantikan kedua-dua bangunan lama yang dibina pada tahun 1886 dan 1892 itu.

Bangunan ini telah direka pada tahun 1900 dan mengandungi tiga landasan, ruang pejabat yang luas dan bilik menanti, bangsal keretapi serta hotel. Hotel yang mengandungi 30 bilik dan dilengkapi restoran ini merupakan sebahagian daripada bangunan yang sama. Mr. Hubback, Pemangku Arkitek di Jabatan Kerja Raya Persekutuan Tanah Melayu telah dipertanggungjawabkan untuk merekabentuk bangunan ini. Bentuk dan seni binanya mempunyai unsur-unsur pengaruh keislaman Utara India dan Byzantine-Arabian Night Fantasy. Bangunan ini telah dibuka dengan rasminya pada 1 Ogos 1910.

Sebagai sebuah stesen keretapi yang berkedudukan di pusat bandar, ia telah mengalami dan menyaksikan pelbagai peristiwa menarik. Antaranya pada tahun 1946, satu perhimpunan telah diadakan di stesen keretapi ini bagi membantah dan memulau perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union di Tanah Melayu. Penentangan ini adalah kerana Malayan Union akan menghilangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.

Pada tahun 1962, Stesen Keretapi Kuala Lumpur sekali lagi dibanjiri oleh orang ramai. Perhimpunan kali pada tanggal 20 Januari ini bertujuan untuk menyambut kepulangan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tengku Budriah binti Al-Marhum Tengku Ismail setelah berkunjung ke luar negeri selama enam minggu. Kepulangan Baginda berdua yang diiringi oleh Tun Sardon Hj. Jubir dan isteri telah disambut dengan hamparan permaidani merah dan tembakan meriam sebanyak 21 das. Ketibaan baginda dan rombongan di Stesen Keretapi Kuala Lumpur dari Pulau Pinang dengan keretapi khas telah disambut oleh Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman dan isteri, Timbalan Perdana Menteri YAB Tun Abdul Razak dan isteri, Menteri-Menteri kabinet, perwakilan asing dan rakyat jelata.

Dalam tahun yang sama pada 17 Februari, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Padang Kelab Selangor sekali lagi dikunjungi oleh orang ramai bertujuan menyambut kepulangan seramai 510 orang anggota askar Melayu dari Congo, yang telah berkhidmat selama 10 bulan sebagai pasukan pengaman dunia. Keretapi yang membawa anggota-anggota tersebut tiba pada pukul 9.15 pagi dari Port Swettenham, anggota tentera ini kemudiannya berbaris di Padang Kelab Selangor untuk upacara perbarisan.

Pada upacara perbarisan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak selaku Menteri Pertahanan mengucapkan `Selamat Kembali' kepada para anggota yang selamat pulang dengan kejayaan, hanya tiga anggota sahaja yang terkorban. Pada upacara tersebut juga, Tun Abdul Razak mengucapkan `Selamat Belayar' kepada 926 orang askar dari batalion Ke-7 Askar Melayu Diraja dan A Squadron Pasukan Peninjau Persekutuan yang akan berlepas ke Congo.

Pada 18 Julai 1984, rombongan Pengurus Besar Keretapi Thai (RSR) telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat, Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Kuala Lumpur. Rombongan tersebut juga bertindak sebagai wakil kepada persidangan bersama antara KTM dengan RSR. Pada persidangan itu pelbagai perkara berhubung dengan keretapi kedua negara telah dibincangkan termasuklah teknologi, pentadbiran, kejuruteraan. Di stesen keretapi Kuala Lumpur ini juga telah dilancarkan upacara pelancaran ujian railbus pada 23 Julai 1984. Pelancaran ini telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chong Hon Nyan. Railbus berharga RM1.1 juta boleh memuatkan 260 orang penumpang bagi satu-satu perjalanan.

Pada 7 April 1985, Perdana Menteri Great Britain, Puan Margeret Thatcher telah mengadakan lawatan singkat ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Kunjungan beliau disambut oleh Perkumpulan Wanita KTM, Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chong Hon Nyan dan isteri, Timbalan Menteri Pengangkutan, Puan Rahmah Osman, Pengurus Besar KTM Dato' Ahmad Badri dan isteri serta pegawai-pegawai dan kakitangan KTM. Rombongan beliau juga dibawa menaiki British Railbus dari stesen Kuala Lumpur ke Bangsar.