Suruhanjaya Cobbold Suruhanjaya Cobbold



Lima ahli Suruhanjaya Cobbold terdiri daripada Lord Cobbold sebagai Pengerusi, dua ahli yang dilantik oleh kerajaan British iaitu Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston dan dua ahli lagi iaitu Dato' Wong Pow Nee dan En. Muhammad Ghazali Shafie yang dilantik oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sepertimana disebut dalam penyata, tanggungjawab dan tugas Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat buah-buah fikiran rakyat di Borneo Utara dan Sarawak berkenaan kemasukan kedua-dua negeri tersebut ke dalam Persekutuan Malaysia dan seterusnya membuat syor-syor setelah mempertimbangkan buah-buah fikiran tersebut.

Sebelum memulakan penyiasatan, suruhanjaya terlebih dahulu meneliti syor-syor dalam Memorandum On Malaysia yang dikemukakan oleh MSCC pada 3 Februari 1962. Syor-syor yang terkandung dalam memorandum khas ini lebih menyentuh syarat-syarat dan hak-hak perlindungan berperlembagaan yang khusus untuk rakyat di Borneo.

Dalam pada itu, kertas-kertas putih disebarkan kepada rakyat di kedua-dua negeri supaya mereka mendapat pemahaman lebih jelas mengenai Malaysia serta faham tujuan kehadiran anggota suruhanjaya untuk menjalankan tinjauan berkenaan.

Di sepanjang tempoh dua bulan bermula dari 19 Februari hingga 18 April 1962, ahli-ahli suruhanjaya telah melakukan lawatan di 35 buah tempat di sekitar Borneo Utara dan Sarawak termasuk kawasan-kawasan pedalaman yang melibatkan 50 perjumpaan dengan sejumlah 4000 orang.

Dalam siri-siri lawatan dan tinjauan yang dibuat, suruhanjaya melaporkan menerima 2,200 keping surat dan memorandum daripada pelbagai persatuan, parti politik, pertubuhan keagamaan, kemasyarakatan dan kesatuan sekerja, dewan-dewan perdagangan, ketua-ketua kaum, orang-orang kenamaan serta individu di kedua-dua negeri tersebut.

Segala perkara berbangkit semasa perjumpaan dan perbincangan dengan ketua-ketua kaum dan pertubuhan dan melalui surat dan memorandum yang diterima, telah menghasilkan input-input yang berguna untuk perhatian dan penelitian suruhanjaya.

Laporan-laporan penyiasatan suruhanjaya di Sarawak dan di Borneo Utara ini dimuatkan secara berasingan dalam Penyata Cobbold disusuli dengan syor-syor suruhanjaya. Syor-syor oleh suruhanjaya pula dibahagi kepada syor-syor berkaitan perkara am, syor-syor daripada ahli-ahli yang mewakili kerajaan British dan syor-syor daripada ahli-ahli yang mewakili Persekutuan Tanah Melayu.

Mukasurat: 1  2  3