Suruhanjaya Cobbold Suruhanjaya Cobbold



Enam lampiran dikepilkan dalam Penyata Cobbold untuk rujukan seperti jadual lawatan suruhanjaya, cabutan banci, dasar-dasar utama British, istilah dan maksud 'bumiputera' dalam perundangan, kertas-kertas kerajaan Borneo Utara dan Sarawak mengenai Malaysia dan Memorandum mengenai Malaysia yang dikemukakan oleh MSCC. Turut dikepilkan ialah peta negeri-negeri Borneo 1953 (Pindaan 1962).

Penyata Cobbold yang siap pada 21 Jun 1962 telah diterbitkan dan diumumkan pada 1 Ogos 1962. Penyata utama disediakan dalam bahasa Inggeris dengan naskhah terjemahan dibuat dalam bahasa Melayu dan Cina.

Asas-asas persetujuan

Berdasarkan hasil tinjauan yang dilakukan, suruhanjaya mendapati majoriti rakyat Borneo Utara dan Sarawak menyokong kemasukan ke dalam Malaysia. Suruhanjaya Cobbold dengan itu menyokong penubuhan Malaysia. Ia turut berpandangan bahawa negeri Borneo Utara dan Sarawak akan beroleh keuntungan dari segi ekonomi dan keselamatan dengan memasuki Malaysia.

Dalam syor yang dikemukakan, perkara penting yang dipersetujui ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dijadikan asas kepada Perlembagaan Malaysia dan nama Malaysia dijadikan nama persekutuan yang baru.

Perkara-perkara lain yang dipersetujui antaranya ialah, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dengan wilayah Borneo diberi peruntukan 10 tahun bagi melaksanakan dasar ini, Islam sebagai agama rasmi dengan hak kebebasan beragama diberi kepada yang bukan Islam, dan kaum pribumi di Borneo dapat menikmati hak-hak istimewa sebagaimana orang Melayu di Semenanjung.

Serentak dengan pengumuman Penyata Cobbold pada 1 Ogos 1962, kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengeluarkan satu kenyataan bersama. Dengan menerima hampir kesemua syor-syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Cobbold tersebut, kedua-kedua kerajaan memutuskan Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada tarikh 31 Ogos 1963 dan beserta dengan syarat iaitu segala perkara berkaitan perlembagaan telah diselesaikan.

Susulan itu, Jawatankuasa Antara Kerajaan atau Lansdowne Committee (IGC) ditubuhkan untuk merangka peraturan-peraturan perlembagaan dan cara mengadakan jaminan-jaminan bagi memelihara kepentingan negeri-negeri Borneo dalam Persekutuan baru. Jaminan ini akan meliputi perkara-perkara berkaitan kebebasan beragama, pelajaran, perwakilan dalam Parlimen Persekutuan, kedudukan anak negeri, kawalan imigresen, kewarganegaraan dan perlembagaan-perlembagaan negeri.

Selepas mesyuarat dan perbincangan dengan wakil-wakil Borneo Utara, IGC menghasilkan draf '20 Perkara' yang menyentuh kepentingan Borneo Utara dalam Malaysia. Begitu juga dengan Sarawak, kompromi yang dicapai digarap dalam '18 Perkara'. Persefahaman melalui '20 Perkara' dan '18 Perkara' inilah yang menjadi pengikat dan asas perlindungan kepada hak-hak penduduk di Borneo Utara dan Sarawak dalam Malaysia.

Rundingan akhir penubuhan Malaysia yang diadakan di London pada pertengahan 1963 telah memeterai persetujuan semua pihak yang terlibat terhadap semua syarat untuk percantuman di bawah Malaysia. Susulan itu, Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 8 Julai 1963 di antara Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak. Malaysia akhirnya dirasmikan pada 16 September 1963 dalam satu upacara gemilang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Di hari yang sama juga, upacara pengisytiharan Malaysia turut dilakukan di Sabah dan Sarawak.

Mukasurat: 1  2  3