Taman Botanikal Pulau Pinang Taman Botanikal Pulau Pinang

Pulau Pinang adalah negeri terawal yang pernah diduduki oleh Inggeris selain dari Singapura. Sebagaimana di Singapura, di Pulau Pinang juga pihak Inggeris telah menubuhkan Taman Botanikal Pulau Pinang pada tahun 1884 yang bertujuan untuk menjalankan penyelidikan pertanian dan perhutanan serta melatih kakitangan dan pekebun-pekebun.

Walau bagaimanapun di samping tujuan di atas kita juga dapat menyelami tujuan lain yang tersirat iaitu pihak Inggeris mahu menjalankan percubaan pertanian di Taman Botanikal bagi mencari jenis tanaman yang sesuai untuk diusahakan oleh anak negeri bagi tujuan perdagangan serta mengaut keuntungan dari tanah jajahan.

Sejajar dengan hasrat itulah selepas menduduki Pulau Pinang, Inggeris telah menubuhkan Taman Botanikal di bawah kelolaan Jabatan Taman Botanikal yang kemudiannya diambil alih oleh Jabatan Hutan Negeri-negeri Selat pada tahun 1885 dengann fungsinya sebagai pusat percubaan tanaman dan penyelidikan pertanian dikekalkan.

Penguasa Taman Botanikal Pulau Pinang yang pertama ialah Encik Charles Curtis iaitu dari tahun 1885 sehingga 1903 yang kemudiannya digantikan oleh Encik W.Fox sehingga tahun 1910. Semasa di bawah pentadbiran Encik Curtis, beliau telah mengusahakan penanaman pokok-pokok di sekitar George Town dan usaha ini diteruskan oleh penggantinya itu. Pada 1 Mac 1910 sehingga 1 Januari 1912, kawasan taman ini telah diambil alih oleh pihak Perbandaran Pulau Pinang bagi tujuan membina takungan air yang masih boleh dilihat sehingga kini.

Di antara tahun 1912 sehingga tahun 1921, taman ini diletakkan di bawah pengawalan seorang anak tempatan Encik Mohammad Haniff dan disebabkan kekurangan kakitangan pada ketika itu, tidak banyak perubahan yang dapat dilakukan oleh beliau.

Taman Botanikal ini mengalami beberapa perubahan besar ketika di bawah Encik F. Filippance, di mana pembinaan jalan-jalan lorong pejalan kaki dan penanaman pokok-pokok di tepi-tepi jalan di sekitar Taman Botanikal diusahakan. Encik F. Filippance menjadi Penolong Penguasa Taman Botanikal di Negeri-negeri Selat dan juga selaku Penasihat Taman Botanikal Pulau Pinang pada tahun 1912.

Pada tahun 1932 hingga 1941 Encik J. C. Naven menggantikan Encik Flippance. Pada masa Encik Naven ini beberapa perubahan pesat telah berlaku. Malah pada tahun 1936 misalnya sebahagian kawasan Taman Botanikal ini telah diratakan. Selain itu `pergola' didirikan serta dibina `lily pools' dan air pancut untuk menarik minat para pengunjung. Perubahan ini juga dikatakan titik-tolak kepada perubahan secara perlahan-lahan fungsi Taman Botanikal kepada taman dan tempat riadah untuk orang ramai.

Sebahagian taman ini direka bentuk sebagai formal gardens seperti tanaman hiasan, kolam-kolam kecil, lorong pejalan kaki, pokok-pokok untuk berteduh, tempat untuk berehat dan lain-lain.

Semasa Perang Dunia Kedua dalam tahun 1942, kawasan Taman Botanikal digunakan sebagai tempat menyimpan senjata dan alat-alat letupan serta tempat perlindungan dari serangan udara pihak Jepun. Pada masa ini Taman Botanikal dikelolakan oleh anak tempatan Encik Abdul Kadir. Apabila tentera Jepun dapat menawan Tanah Melayu pada tahun 1945 kawasan Taman Botanikal telah digunakan pula oleh Jepun sebagai kuarters, bengkel dan tempat untuk menyimpan torpedo. Akibatnya banyak pokok dan semaian telah ditebang atau dimusnahkan pada masa peperangan itu.

Apabila Perang tamat Taman Botanikal Pulau Pinang telah dipisahkan dari Taman Botanikal Singapura pada tahun 1946. Encik F.S. Banfield telah ditugaskan memulihkan Taman Botanikal Pulau Pinang ini dan kemudiannya digantikan pula oleh Encik H. Ritching. Pada tahun 1956 seorang anak tempatan Encik Cheang Kok Choy telah dilantik sebagai Penguasa dalam Taman Botanikal ini. Beliau telah membuat beberapa perubahan seperti memperkenalkan kawasan zoo haiwan tetapi ianya baru dapat dilaksanakan pada tahun 1974. Selain itu Encik Cheang juga telah memperbanyakkan lagi koleksi pokok-pokok palma di tanam ini.

Walaupun Taman Botanikal Pulau Pinang mempunyai matlamat untuk penyelidikan tanaman dan perhutanan bagi tujuan komersial, ia kemudiannya telah berkembang daripada fungsi asalnya menjadi taman untuk tempat beriadah dan istirehat. Ini memberi kebaikan kepada Taman Botanikal ini sendiri kerana ia tidak dapat dieksploitasi sepenuhnya oleh Inggeris seperti yang berlaku di tempat-tempat lain.