Tan Sri Abdul Jamil Bin Abdul Rais Tan Sri Abdul Jamil Bin Abdul Rais

  Tan Sri Abdul Jamil bin Abdul Rais dilahirkan pada 14 Januari 1912 di Kuala Kangsar, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Clifford School, Kuala Kangsar. Pada tahun 1931, beliau menjadi ‘Student  Probationer Malay Administrative Service' (M.A.S) di Maktab Melayu Kuala Kangsar iaitu salah sebuah institusi pendidikan yang terkemuka. Pada masa itu dan beliau  merupakan penuntut Melayu yang pertama dari sekolah beliau yang berjaya mengikuti latihan seumpama ini.

  Pada tahun 1932 beliau mula menapak dalam bidang pentadbiran iaitu sebagai Pegawai Pelatih (Probationer Officer) M.A.S dan ditempatkan  di Pejabat Daerah Kuala Selangor dan pada tahun berikutnya beliau ditempatkan di Pejabat Daerah Sabak Bernam, Selangor. Kerjayanya dalam bidang ini semakin menyinar bila beliau bertugas pula di Pejabat  Daerah Port Dickson dan seterusnya menjadi Timbalan Penolong Pegawai Daerah (D.A.D.O) di Hulu Selangor pada tahun 1938 dan Timbalan Penolong Pegawai Daerah di Hilir Perak pada tahun 1939 hingga 1941 apabila meletusnya Perang Dunia Kedua dan Tanah Melayu telah diambil alih pentadbirannya oleh pihak Jepun selama beberapa tahun.

  Sesungguhnya, larian waktu yang panjang itu telah mematangkan pengalaman beliau dalam bidang pentadbiran. Rentetan jawatan yang disandangnya semenjak menjadi Pegawai M.A.S. sehinggalah kepada Pegawai M.C.S. (Malayan Civil Service) sejak tahun 1932 sehinggalah ke tahun 1941 itu telah mendewasakan dan meluaskan lagi pengalaman beliau.

   Dalam masa pendudukan Jepun, beliau juga telah bergerak cergas dalam kegiatan anti-Jepun, menyebabkan beliau telah ditangkap oleh pihak Jepun. Beliau juga terlibat secara langsung dalam penubuhan Pasukan Gerila Force 136. Akibatnya beliau telah ditangkap oleh pihak Komunis pula pada saat-saat penyerahan Tanah Melayu oleh Jepun kepada British.

   Walau bagaimanapun, selepas Perang Dunia Kedua bila mana Inggeris kembali ke Tanah Melayu, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tanah dan Galian (Comissioner of Land and Mines) Negeri Perlis selama lebih kurang tiga tahun apabila beliau melepaskan jawatan itu pada tahun 1950. Selepas itu, pada 18 September 1950 beliau dilantik menjadi Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Kemudian beliau pergi ke United Kingdom untuk mengikuti kursus dan sekembalinya dari sana beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada awal tahun  1951.

  Pada 1 Disember 1951 beliau bertukar ke Perlis menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis sehingga tahun 1953. Selepas itu, beliau berangkat ke United Kingdom sekali lagi untuk mengikuti Kursus Pentadbiran di Oxford University.

  Sekembalinya daripada luar negara pada tahun 1955, beliau bertugas di Federal Establishment Office (F.E.O). Pada 14 Mac 1956, beliau bertugas pula di Pejabat Kewangan Negeri Selangor sebagai Pegawai Kewangan. Beliau kemudiannya menjadi Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 30 Jun 1956. Pada tahun 1957 beliau dilantik untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor untuk jangka masa empat bulan dan kemudiannya ditetapkan ke dalam jawatan itu selepas Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan pada bulan Ogos 1957.

  Pada 8 Jun 1958, beliau telah mendapat penghormatan dari Kerajaan untuk mengelilingi dunia selama 3 bulan. Sekembalinya daripada lawatan itu, beliau telah ditugaskan lagi untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor. Pada tahun 1959, beliau dilantik pula untuk memegang jawatan di Perbendaharaan Negara. Kemudian beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Perbendaharaan Negara pada tahun 1961 dan merupakan anak Melayu yang pertama memegang jawatan tersebut. Pada tahun 1964, beliau dilantik pula sebagai Ketua Setiausaha Negara yang pertama. Jawatan ini yang sebelumnya di kenali sebagai Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri dan beliaulah orang yang bertanggungjawab menukar nama jawatan itu sesuai dengan tugasnya. Pada masa yang sama, beliau menyandang jawatan sebagai Setiausaha Jemaah Menteri. Pada tahun 1967, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London dan juga duta ke Ireland. Selain daripada tugasnya sebagai pentadbir yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang yang diceburinya itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam badan-badan kerajaan, badan-badan sukan, badan-badan kebajikan dan sukarela serta syarikat-syarikat perniagaan. Di antaranya termasuklah:-

  1.  Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang
  2.  Naib Yang Di Pertua Persatuan Dakwah Islamiah Malaysia
  3.  Naib Presiden Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
  4.  Presiden Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia
  5.  Presiden Persatuan Lawn Tennis Selangor
  6. Presiden Persatuan Lawn Tennis Malaysia
  7. Naib Presiden F.A.M.
  8. Pengerusi Majlis Universiti Malaya
  9. Pengerusi Majlis Persatuan Pengakap Malaysia (Anak Melayu pertama memegang jawatan ini)
  10. Pengerusi Lembaga Perancang Keluarga
  11. Pengerusi KONTENA Nasional Sdn. Bhd. dan lain-lain.

  Di samping itu juga, beliau bergiat cergas dalam kegiatan politik tanahair. Umpamanya beliau pernah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Perak dan beberapa jawatan lain sebelumnya, di sepanjang perkhidmatan beliau dengan kerajaan. Jasa-jasa beliau amatlah besar terhadap negara khususnya dalam bidang pentadbiran. Beliau telah berbakti kepada bangsa dan negara meliputi dua zaman iaitu zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka. Di atas jasanya yang  ditaburkan itu, beliau telah diberi penghormatan oleh negara. Malah, semasa pentadbiran British lagi beliau telah dikurniakan beberapa medal seperti ‘Coronation Medal' dan juga ‘Selangor Meritorius Service Medal' pada tahun 1956.

  Beliau juga telah dianugerahkan Pingat Johan Mangku Negara (JMN) dan juga Panglima Mangku Negara (PMN) oleh Yang di-Pertua Agong yang membawa gelaran Tan Sri. Beliau juga mendapat anugerah pingat tertinggi daripada Kerajaan Negara Thai iaitu ‘Knight Commander of The Most Exalted Order of The White Elephant'. Jelasnya beliau bukan sahaja mendapat penghargaan dalam negeri tetapi juga di peringkat antarabangsa. Penglibatannya dalam bidang pentadbiran telah banyak membantu ke arah pembangunan negara dan sepanjang penglibatannya itu, beliau dapat dianggap sebagai seorang yang berjaya dalam kerjayanya. Kejayaannya itu bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi juga sebagai benih budi yang bercambah menyuburi halaman pertiwi. Baktinya tidak terkira dalam usaha membangunkan negara.

Mukasurat: 1  2