Tan Sri Abdul Samad Bin Idris Tan Sri Abdul Samad Bin Idris

  Tan Sri Abdul Samad Bin Idris dilahirkan pada 13 Oktober 1923 di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Beliau mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Seri Menanti dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di Brickfields Road English School, Kuala Lumpur.

  Beliau pernah bertugas sebagai wartawan di akhbar Majlis, Kuala Lumpur pada tahun 1946 dan akhbar Utusan Melayu, Singapura pada tahun 1950 hingga 1964. Penglibatan beliau secara serius di dalam arena politik bermula pada tahun 1955 apabila dipilih sebagai wakil kawasan Seri Menanti hingga tahun 1969. Seterusnya beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Rakyat kawasan Kuala Pilah dari tahun 1969 hingga 1978 dan Ahli Dewan Rakyat kawasan Jelebu dari tahun 1978 hingga 1981. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Exco dari tahun 1956 hingga 1969 di samping memegang jawatan Timbalan Menteri Besar, Negeri Sembilan.

  Antara jawatan-jawatan penting dalam negara yang pernah disandang oleh beliau ialah Menteri Muda Pembangunan Negara dan Luar Bandar (1969), Menteri Muda Pertanian (1971), Menteri Muda Dalam Negeri (1974), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1976) dan Menteri Kebudayaan, Beliau dan Sukan (1.7.1976). Beliau bersara dari arena politik pada tahun 1980. Selain daripada aktif dalam politik, beliau juga aktif dalam pertubuhan. Pada tahun 1950, beliau telah menubuhkan Persatuan Kelab Belia-belia Malaysia (MAYC) dan menjadi ketua pertama di Negeri Sembilan serta Jawatankuasa Pusat 3 tahun kemudian. Ia telah mengasaskan Pertubuhan Kesusasteraan Negeri Sembilan dan ketua yang pertama pada tahun 1950. Menganjurkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Seremban pada tahun 1951 dan menganjurkan Pesta Kebudayaan Negeri Sembilan pada tahun 1956 di Seremban yang dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

  Beliau juga menganjurkan perjumpaan khas seluruh Jawatankuasa Sekolah-sekolah Melayu Negeri Sembilan menentang Dasar Pelajaran Thuraisingam kerana bahasa pengantaranya Bahasa Inggeris dan mengetepikan Bahasa Melayu. Apabila Minggu dan Bulan Bahasa dilancarkan, beliau menjadi Pengerusi bagi Negeri Sembilan dan Jawatankuasa Pusat di Kuala Lumpur. Pada tahun 1959 juga, beliau dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan pada 1969-1971 dilantik menjadi Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga aktif di dalam penulisan seperti penulisan rencana-rencana di akhbar dan majalah serta mengarang buku serta pernah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (FINAS).

Tokoh Pengkisahan Sejarah 50 Tahun Majlis Belia Malaysia
2 Julai 1998
Arkib Negara Malaysia