Tan Sri Dato' Azman Bin Hashim Tan Sri Dato' Azman Bin Hashim

  YBhg. Tan Sri Dato' Azman bin Hashim dilahirkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada bulan Julai 1939. Beliau mempunyai 13 adik-beradik dan merupakan anak ketiga di dalam keluarganya. Bapanya bekerja sebagai juruteknik manakala ibunya pula seorang guru. Beliau bersekolah di Malay Boy's School, Setapak dan kemudiannya ke Methodist Boy's School di Sentul dan menamatkan sijil persekolahan pada tahun 1954 ketika berusia 15 tahun.

  Pada tahun 1955, beliau telah pergi ke Perth, Australia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan. Di Perth, beliau telah berpeluang bekerja di Messrs O L Haines & Co. (Chartered Accountants) sehingga tahun 1960. Apabila pulang ke tanah air, beliau berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia sehingga Mei 1964. Setelah empat tahun di Bank Negara, beliau memulakan syarikatnya sendiri dengan nama Azman & Co pada Mei 1964. Kemudiannya dikenali dengan nama Azman Wong Salleh & Co. (Chartered Accountants). Beliau meninggalkan syarikat itu pada Mei 1971 dan menyertai Malayan Banking Berhad sebagai Pengarah Eksekutif (Jun 1971-Dis 1980). Beliau juga merupakan Pengarah di bank yang sama semenjak tahun 1966.

  Beliau kemudian meninggalkan Malayan Banking untuk menyertai Kwong Yik Bank Berhad dari Disember 1980 hingga Mac 1982. Tahun 1982 merupakan tahun yang membawa tuah kepada beliau apabila berjaya membeli 40 peratus dari Taiping Textiles sebuah syarikat tersenarai (kemudiannya dinamakan Arab-Malaysian Development Berhad atau AMDB). Di tahun yang sama, beliau telah membeli Arab-Malaysian Development Bank (kemudiannya Arab Malaysian Merchant Bank atau AMMB).

  Kini beliau merupakan Group Chairman bagi Arab-Malaysian Group of Companies. Di antara kumpulan yang mana beliau menjadi pengerusinya adalah AMMB Holding Berhad Group, Arab-Malaysian Corporation Berhad Group, Arab-Malaysian Finance Berhad, Arab-Malaysian Credit Berhad, Arab-Malaysian Property Trust Management Berhad, Arab-Malaysian Development Berhad Group dan Redifussion Berhad Group. Beliau juga menjadi pengerusi bagi South Peninsular Industries Berhad, Pembangunan MasMelayu Berhad, Malaysian South Corporation Berhad dan MIMOS Berhad.

  Penglibatan beliau dalam bidang kewangan, meliputi bank saudagar, bank perdagangan, saham, insurans hayat dan insurans am, amanah harta dan pengurusan unit amanah, pembangunan harta termasuk kediaman dan rumah rehat, pembuatan, pelancongan dan percutian amat membanggakan. Beliau pernah di antaranya dinamakan sebagai seorang dari Asia's Banker of the Year (1985) oleh Asian Finance, dianugerahkan ASEAN Businessman of the Year (1993) oleh ASEAN Busines Forum dan Manager of the Year (1995) oleh Harvard Business School Alumni Club of Malaysia.

Tokoh Pengkisahan Sejarah Kuala Lumpur
19 Februari 2000
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur