Tan Sri Dato' Elyas Omar Tan Sri Dato' Elyas Omar

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Penglibatan Malaysia Dalam Sukan Komanwel
30 Julai 1998


Tan Sri Dato' Elyas Omar

   Tan Sri Dato' Elyas Omar berasal dari Pulau Pinang. Beliau berkelulusan B.A. Hons daripada Universiti Malaya, Singapura, Sarjana daripada Universiti Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Doktor Falsafah daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Mula berkhidmat dengan kerajaan sebagai Assistant Director di Public Services Commission (1960-1964), Assistant Director di Federal Establishment Office Malaysia (1966) dan sebagai Penolong Pengarah di Unit Pembangunan Pentadbiran, Jabatan Perdana Menteri (1966-1970).

  Beliau dilantik menjadi Pengarah, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dari tahun 1973-1978. Beliau kemudiannya menjadi Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (1978-1981) dan sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Wilayah Persekutuan (1981-1987). Jawatan paling akhir dalam perkhidmatan awam yang disandangnya adalah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur (1981-1992).

   Semasa menjadi Datuk Bandar, beliau telah memperkenalkan pelbagai perubahan kepada pembangunan dan usaha mencantikkan Kuala Lumpur. Beliau telah memperkenalkan kemudahan pengangkutan seperti Light Rapid Transit (LRT) yang menggunakan elevated guideways bagi mengurangkan kesesakan jalan raya. Di samping itu, mengadakan Sistem Pengangkutan Awam Bersepadu yang melibatkan penggabungan syarikat-syarikat bas dan menyatupadukannya dengan teksi, monorel, laluan pejalan kaki dan menyusun semula laluan-laluan bagi kemudahan perjalanan awam.

  Pengindahan Bandaraya Kuala Lumpur turut dilakukan dengan pembinaan Taman Orkid, Taman Burung, Taman Rama-rama, Taman Rusa, Taman Bandar Tun Razak dan Taman Tasik Permaisuri. Beliau turut merancang pembangunan bandar secara penswastaan seperti Bandar Baru Wangsa Maju dan pembangunan secara usahasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan pemaju dan pemilik tanah bagi membangunkan kawasan setinggan di Kuala Lumpur. Di samping itu juga, beliau turut terlibat dalam perancangan pembangunan Bukit Jalil untuk dijadikan kompleks perkampungan sukan yang disekalikan dengan Taman Teknologi.

  Di samping itu, beliau juga turut aktif di dalam bidang sukan selaku pemimpin. Beliau pernah menjadi Ahli Majlis Sukan Negara (1980-84), Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (1980-93) dan Presiden bagi Persekutuan Lumba Basikal Kebangsaan Malaysia (1984-88). Sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (1985-93), beliau telah memimpin pasukan Malaysia memenangi Piala Thomas pada tahun 1992. Pasukan Bola Sepak Kuala Lumpur pula telah menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989, semasa beliau menjadi Presiden (1984-1996).

  Tan Sri Dato' Elyas Omar juga merupakan Chef-de-Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik di Barcelona 1992 yang memenangi pingat Olimpik pertama melalui Razif dan Jalani dalam acara badminton. Beliau juga merupakan Committee Member bagi Commonwealth Games Bid 1998 yang telah berjaya membawa Sukan Komanwel Ke-16 ke Kuala Lumpur.

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Penglibatan Malaysia Dalam Sukan Komanwel
30 Julai 1998
Memorial Tunku Abdul Rahman