Tan Sri Datuk Haji Arshad Bin Ayub Tan Sri Datuk Haji Arshad Bin Ayub

   Tan Sri Datuk Haji Arshad Ayub dilahirkan pada 15 November 1928 di Muar, Johor Darul Takzim. Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Parit Keruma, Muar, Johor sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Kerajaan juga di Muar, Johor. Kemudian beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, Singapura (1949-1951), Kolej Pertanian Serdang, Selangor (1951- 1954) dan University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom (1954-1958). Karier beliau bermula seawal tahun 1951 apabila beliau bertugas di Lembaga Pembangunan Industri Desa atau RIDA (Rural Industrial Development Authority).

  Beliau banyak terlibat dalam perancangan agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan negara dan agenda pembangunan inilah juga yang menjadi teras pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak. Di samping itu, Tan Sri Datuk Haji Arshad Ayub dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab dalam pembangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebuah universiti yang ditubuhkan bagi memberikan peluang pendidikan tinggi yang lebih baik kepada golongan bumiputera.

  Beliau merupakan pengarah pertama universiti tersebut dari tahun 1967 hingga 1975 yang dahulunya dikenali sebagai Institut Teknologi MARA. Beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran awam di negara ini dengan memegang  jawatan-jawatan penting di dalam pelbagai jabatan kerajaan mahupun kementerian. Walaupun usia beliau telah menjangkau usia melebihi 80 tahun, namun beliau masih aktif sebagai seorang pentadbir khususnya dalam bidang perniagaan dan beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya dan Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA.

Tokoh Pengkisahan Sejarah Universiti Teknologi MARA (UiTM)
17 Julai 2001
UiTM Shah Alam