Tan Sri Datuk Paduka Dr.Hajah Saleha Mohd. Ali Tan Sri Datuk Paduka Dr.Hajah Saleha Mohd. Ali

  Tan Sri Datuk Paduka Dr. Hajah Saleha Mohd. Ali dilahirkan pada 29 Januari 1923 di Klang, Selangor. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Tengah Klang ketika berusia 5 tahun. Setelah berumur 6 tahun, beliau memasuki Sekolah Perempuan Methodist, Klang di samping belajar di Sekolah Melayu pada hujung minggu. Di sebelah petang pula, beliau belajar mengaji Quran. Apabila bapa beliau berpindah ke Kuala Lumpur, beliau meneruskan pula pelajarannya di Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur sehinggalah ke darjah tiga. Setelah itu, beliau belajar di Sekolah Perempuan St. Mary Bukit Bintang hingga ke peringkat Senior Cambridge.
 
  Di antara tahun 1940 hingga 1941, beliau mengikuti Kursus Perguruan di English Normal Teacher Training Centre Kuala Lumpur. Semasa berada di sini, beliau pernah ditugaskan sebagai Guru Pelatih Inggeris di Sekolah Convent Bukit Nenas dan di Sekolah Melayu Perempuan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

  Di masa Jepun menduduki Tanah Melayu, Tan Sri Datuk Paduka Dr. Hajah Saleha bekerja sebagai setiausaha bapanya sendiri di samping menjadi penterjemah kepada Hakim Jepun. Di samping itu, beliau bergiat dalam lapangan muzik dengan tertubuhnya trio ‘The Ali Sisters' dan pernah mengambil bahagian dalam rancangan hiburan di radio serta membuat persembahan di Sulaiman Club Kampung Baru.

  Setelah perang Jepun tamat, beliau meneruskan tugasnya sebagai guru dan mengajar di Sekolah Jalan Pasar, Kuala Lumpur. Pada bulan Oktober 1946, beliau telah berangkat ke London dengan menaiki flying boat untuk meneruskan pengajian dalam jurusan Sains Politik dan Ekonomi di London School of Economic selama empat tahun. Pemergian beliau ke England ini adalah menjadi kebanggaan kaum wanita kerana beliau adalah wanita Melayu pertama melanjutkan pelajaran ke luar negeri dengan biasiswa kerajaan. Kisah perjalanan beliau dengan flying boat dari Tanah Melayu ke England yang amat menarik itu ada disiarkan di dalam akhbar Straits Times dan Majlis tahun 1947/1948. Beliau kembali ke tanahair pada tahun 1949 dan bertugas sebagai Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Beliau juga merupakan salah seorang yang bertanggungjawab menubuhkan Mahkamah Kanak-kanak (Juvenile Court) dalam tahun 1951. Pada tahun 1952, beliau berpindah dan bertugas di negeri Melaka. Pada tahun 1953 pula, beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat kerana mengikuti suami beliau Encik Mohd. Zain bin Ahmad yang bertugas di negeri Perlis.

  Tan Sri Datuk Paduka Dr. Hajah Saleha adalah seorang yang aktif dalam politik semenjak dalam tahun 1940-an lagi. Beliau mula mengenali politik atas dorongan Dato' Onn dalam tahun 1946. Beliau telah mengikuti rombongan menentang Malayan Union di mana sahaja ia diadakan dan telah menghadiri ketiga-tiga Kongres Kebangsaan 1946. Dalam Kongres Kebangsaan yang ketiga di mana UMNO telah ditubuhkan, beliau merupakan wanita tunggal yang berucap di perhimpunan tersebut di mana beliau merupakan wakil Persatuan Kaum Ibu Selangor iaitu persatuan tunggal bagi kaum wanita Melayu yang wujud secara sendirian di Tanah Melayu ketika itu. Dalam ucapan tersebut, beliau menyeru kaum wanita supaya bangkit berganding bahu bersama-sama supaya menentang Malayan Union. Antara tahun 1950 hingga 1953, beliau telah dipilih untuk menganggotai Selangor Executive Council. Dalam tahun 1951, beliau telah dilantik sebagai Naib Presiden UMNO Cawangan Kampung Baru.

  Tidak ketinggalan, beliau juga bergiat cergas di dalam kegiatan sosial semenjak di bangku sekolah lagi di mana beliau telah menubuhkan persatuan untuk membantu orang-orang susah di sekolah yang beliau pernah belajar. Justeru untuk membuat kerja-kerja amal, maka Persatuan kaum Ibu Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada tahun 1939 di mana Tan Sri Datuk Paduka Hajah Saleha merupakan ahli yang paling aktif sekali. Semasa menuntut di London juga, beliau aktif dalam Persatuan Penolong Setiausaha Malayan Students Union dan menjadi Ahli Jawatankuasa Malay Society of Great Britain.

  Beliau juga telah mewakili Tanah Melayu dalam beberapa persidangan di London dan di Switzerland semasa beliau berada di luar negara. Sekembalinya ke tanah air, beliau telah menubuhkan Malayan Youth Club pada tahun 1950. Selain dari itu, beliau juga merupakan Ahli Perkumpulan Perempuan (Women's Institute) dalam tahun 1952 bersama Lady Templer dan beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agong Perkumpulan Perempuan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1958-1960 serta telah berusaha menubuhkan beberapa cawangan Perkumpulan Perempuan di Melaka dan Perlis di samping bergiat dalam Persatuan Palang Merah dan Pandu Puteri. Manakala pada tahun 1957, ketika perayaan pengisytiharan kemerdekaan diadakan di Stadium Merdeka, Tan Sri Dato' Paduka Hajah Saleha telah dilantik sebagai Pegawai Protokol kepada Lady Gurney. Pada tahun 1957, beliau telah dilantik pula sebagai Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Negeri Selangor. Beliau merupakan wanita pertama yang menganggotai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Public Services Commision) Negeri Selangor dalam tahun 1960 sehingga 1970. Semenjak tahun 1968 hingga sekarang, beliau adalah Ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor manakala pada tahun 1974 hingga sekarang, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam. Selain dari itu, beliau juga merupakan Ahli Penasihat Lembaga Perpaduan Negara dari tahun 1978 hingga sekarang. Pada tahun 1983 pula, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Puteri Islam dan menjadi Canselor di Help University College, The University of Archives.
 
  Sebagai mengenang jasa-jasa beliau, Tan Sri Datuk Paduka Dr. Hajah Saleha telah dianugerahkan dengan beberapa pingat di antaranya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Kerajaan Negeri Selangor. Pada tahun 1966, beliau dianugerahkan pula dengan Pingat Ahli Mangku Negara, (AMN) dan kemudian Pingat Jaksa Pendamai (JP) pada tahun 1982. Beliau telah dianugerahkan Bintang Darjah Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) pada tahun 1985, Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Southern Queensland, Australia pada tahun 1997 dan pada tahun 2004, beliau di anugerahi Bintang Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah-Wanita Di Dalam Sejarah Malaysia
22 Julai 1985
Arkib Negara Malaysia