Tan Sri Datuk. Dr. Haji Abdul Mubin Sheppard Tan Sri Datuk. Dr. Haji Abdul Mubin Sheppard

Tan Sri Datuk. Dr. Haji Abdul Mubin Sheppard dilahirkan pada 21 Jun 1905 di Ireland.  Mendapat pendidikan awal di Marlborough College, dan selepas itu Universiti Cambridge. Beliau memasuki Perkhidmatan Awam Malaya (MCS) pada tahun 1928, iaitu setahun setelah lulus peperiksaan kelayakan di London.  Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Melayu, beliau telah jatuh cinta dengan negara ini serta rakyatnya, lalu terus menetap di sini untuk terus berkhidmat dalam perkhidmatan awam sehinggalah bersara pada tahun 1963.

Tempoh 10 tahun pertama kerjayanya yang cemerlang dalam MCS, Tan Sri Mubin Sheppard amat mencintai budaya dan adat resam Melayu, oleh sebab itulah beliau lebih banyak menumpukan khidmat baktinya di kawasan luar bandar, yang pada beliau begitu ‘menarik dan mencabar'. Beliau cepat membiasakan dirinya dengan penghidupan di kalangan penduduk desa, Beliau muncul sebagai pegawai kerajaan bersih dan cekap.

Ketika Perang Dunia Kedua, berkhidmat secara aktif dalam Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S.V.F.) sebagai Ketua Kompeni dari 8 Disember 1941 hingga 15 Februari 1942 sebelum menjadi tawanan perang daripada tahun 1942 hingga 1945. Beliau berhenti daripada pasukan itu sebaik sahaja tamat perang untuk berkhidmat semula dalam M.C.S. Pada tahun 1946, beliau dilantik sebagai  Pengarah Perhubungan Awam yang pertama pada tahun 1946 dan kemudiannya sebagai ‘First Keeper of Public Records' (sekarang dikenali sebagai Arkib Negara Malaysia) pada tahun 1958. Pada tahun 1959, beliau dilantik sebagai Pengarah Muzium yang pertama sehinggalah tahun 1963.
Persaraannya dalam perkhidmatan awam Malaysia tidak bermakna berakhirnya khidmat Tan Sri Mubin Sheppard kepada masyarakat umum. Beliau terus cergas dalam pelbagai kerja kebajikan, antaranya menjadi Penolong Residen dan Penyunting M.B.R.A.S (Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society). Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Persatuan Sejarah Malaysia, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan juga Setiausaha Agung Pusat Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dari tahun 1960 hingga 1964. Selain daripada itu Tan Sri Mubin Sheppard juga dikenali sebagai penulis beberapa buah buku tentang sejarah, adat resam, kesenian dan kraftangan Malaysia. Antara hasil penulisan beliau ialah ‘The Malay Regiment, 1933-1947, The Adventure of Hang Tuah', 1949, A Short History of Terengganu, 1949,;

Tan Sri Mubin Sheppard meninggal dunia pada 12 September 1994, pada usia 89 tahun kerana sakit tua di Pusat Perubatan Subang. Jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Jalan Ampang dengan diberikan penghormatan negara dan ketenteraan.  Allahyarham terus dikenang sehingga ke hari di atas sumbangan dan peranan yang telah diberikan oleh Tan Sri  oleh Mubin Sheppard dalam sejarah negara. Allahyarham Tan Sri  Mubin Sheppard disifatkan oleh Tun Mohamed Suffian  ‘…..bukan hanya pekerja biasa yang puas hati semata-mata menerima perintah dari orang atas; beliau sentiasa menerima perintah dari orang atas; beliau sentiasa bersedia mengatasi apa juga masalah yang timbul meskipun di luar bidang tugasnya, dan beliau melakukanya dengan bersungguh-sungguh, bersemangat serta tabah; dan senang hati – yang digerak oleh perasaan tanggungjawab terhadap mereka yang di bawah jagaannya serta kepuasan yang dibawa oleh setiap pencapaian"…

Skrip disediakan oleh : Seksyen Dokumentasi
Arkib Negara Malaysia/2011