Tan Sri Hajah Zainun bt Munshi Sulaiman Tan Sri Hajah Zainun bt Munshi Sulaiman

Tan Sri Hajah Zainun atau lebih dikenali dengan panggilan Ibu Zain telah dilahirkan pada 22 Januari 1903 di Kampung Nyalas, Melaka. Beliau telah mendapat didikan pra-sekolah di Bandar Hilir dan kemudiannya di Sekolah Perempuan Methodist, Melaka. Perkhidmatannya kepada masyarakat bermula di antara tahun 1916 hingga 1921 apabila beliau membuka Sekolah di Pasoh Jaya Waras, Negeri Sembilan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan di atas perbelanjaannya sendiri. Semenjak daripada tarikh tersebut dan apabila beliau telah berpindah ke Muar. Beliau telah melibatkan diri sepenuhnya di dalam hal-hal pendidikan dan pelajaran dan telah bertugas sebagai pendidik di pelbagai Sekolah Perempuan Kerajaan di negeri Johor.

Di atas kecekapan dan ketekunan beliau di dalam bidang pelajaran dan pendidikan beliau telah dinaikkan pangkat dari masa ke semasa hinggalah menjadi Penyelia Sekolah-sekolah Perempuan di Negeri Johor dalam tahun 1927. Semenjak dari itu, di atas usaha-usaha beliau, lebih banyak lagi Sekolah Perempuan ditubuhkan di Negeri Johor. Seterusnya di atas usaha beliau juga, Persatuan Guru Perempuan Melayu dan Agama Johor telah ditubuhkan dan beliau menjadi Yang Di Pertuanya sehingga bersara. Di atas kelolaan beliau sendiri, Persatuan tersebut telah menerbitkan majalah bulanan "Bulan Melayu" yang mengandungi makalah-makalah khas untuk wanita. Di dalam kesibukan ini, beliau dapat pula mencari masa untuk menceburkan diri di dalam Pertubuhan Pandu Puteri dan merupakan wanita Melayu pertama yang memasuki pertubuhan tersebut.

Pada awal tahun 30-an beliau melibatkan diri di dalam Pelajaran Bahasa Arab, Agama dan Tafsir Quran. Ketika usianya 30 tahun beliau telah menunaikan ibadat haji ke Mekah dan telah mendirikan rumah tangga dengan Tuan Haji Amin bin Ahmad pada tahun 1934.
Mereka dikurniakan 3 orang anak iaitu Adibah, Fadzilah dan Sulaiman Shakib.

Penglibatan beliau di dalam pelajaran dan pendidikan wanita mendorong beliau menganjurkan satu tabung derma Pelajaran Tinggi untuk Anak-anak Perempuan Melayu Semenanjung dengan tujuan supaya kolej bagi Perempuan Melayu dapat ditubuhkan. Akhirnya beliau berjaya menubuhkan Kolej Puteri Tunku Ampuan Mariam dalam tahun 1948 yang beliau sendiri menjadi pengetuanya.

Sebagai seorang ibu, beliau membesarkan anak-anaknya dengan pendirian bahawa pelajaran adalah perkara yang ulung bagi seseorang. Pelajaran dan pendidikan merupakan darah daging Ibu Zain dan tiap-tiap usaha yang beliau jalankan adalah ditumpukan kepadanya. Dengan latar belakang ini, anak-anaknya dididik dan diasuh untuk mementingkan pelajaran dunia dan akhirat. Anak-anaknya adalah merupakan kanak-kanak yang paling pintar dan cerdik pada masa sekolah sehinggalah ke peringkat universiti dan kesemuanya telah mencapai kejayaan yang tinggi di dalam hidup. Mereka bukan sahaja dapat menguasai pelajaran tetapi juga di dalam bidang bahasa, persuratan dan penulisan. Ibu Zain yang sentiasa mementingkan pelajaran wanita khasnya anak-anaknya perempuan ini dapat pula berbangga dengan kejayaan dan kemajuan anak-anaknya sendiri.

Beliau mula melibatkan diri di dalam politik setelah menerima undangan tahun 1945 daripada Datuk Onn bin Jaafar untuk menyatu-padukan kaum wanita di Johor Bahru yang akhirnya membawa kepada Pertubuhan Pergerakan Kaum Ibu Semenanjung. Dalam tahun 1948 beliau telah dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Johor. Beliau telah dilantik menjadi Ketua Kaum Ibu Malaya dalam tahun 1950 di Perhimpunan Agong UMNO di Kuala Kangsar.

Beliau juga turut bergiat dalam bidang persuratan dalam menulis rencana-rencana untuk Majalah "Guru" dan "Bulan Melayu". Oleh itu pada November, 1954, Ibu Zain telah menghadiri Kongres Persuratan Bahasa Melayu dan Indonesia yang diadakan di Medan, Sumatera. Dalam tahun 1956, beliau telah dipilih sebagai Naib Ketua Kaum Ibu bagi Malaya Bahagian Selatan di samping menjadi Ketua Kaum Ibu bagi Negeri Johor. Beliau juga menjadi anggota Jawatankuasa Tertinggi, Pingat Kaum Ibu UMNO Malaya dalam tahun 1957.

Dalam pertubuhan-pertubuhan sukarela juga Ibu Zain turut melibatkan diri. Beliau antaranya aktif dalam Pertubuhan Pandu Puteri dan telah mewakili Malaya ke Jamboris masa Malaysia menghadapi konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963, Ibu Zain telah mendaftarkan nama sebagai tentera sukarela.

Oleh kerana jasa Ibu Zain dalam berbagai bidang tersebut, beliau telah dikurniakan bintang-bintang dan berbagai gelaran. Antaranya termasuk Pingat Ibrahim Sultan (PIS) oleh DYMM Sultan Johor pada tahun 1947 dan merupakan wanita pertama mendapat pingat tersebut. Beliau telah dianugerahkan pingat JMN oleh DYMM Yang di Pertuan Agong dalam tahun 1957 dan dianugerahkan sebagai Tokoh Guru tahun1957 Sempena Hari Guru, Lady of Burma daripada Kerajaan Burma, Pingat Tun Fatimah (1974) daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia dan pada tahun 1975 telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Muda Sastera oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.

Manakala pada tahun 1979, Ibu Zain telah dianugerahkan Darjah Kebangsaan Panglima Sri Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri dari SPB Yang Di Pertua Agong ke VI, Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail. Dalam tahun 1980 beliau telah menerima anugerah Suluh Budiman dan pada tahun 1982, beliau menerima pula gelaran Tokoh Sastera seterusnya sebagai Tokoh Pendidikan pada tahun 1983.

Siri Pengkisahan Sejarah-Wanita Di Dalam Sejarah Malaysia
28 Januari 1984
Arkib Negara Malaysia.

* Ibu Zain telah meninggal dunia pada 2 April 1989 kerana menghidap penyakit barah dalam perut.