Tan Sri Kamarul Ariffin Bin Mohamed Yassin Tan Sri Kamarul Ariffin Bin Mohamed Yassin

Tan Sri Kamarul Ariffin Bin Mohamed Yassin
 

Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Balai Seni Lukis Negara

Tan Sri Kamarul Ariffin Bin Mohamed Yassin

   Kamarul Ariffin dilahirkan pada 12 Ogos 1934 dan dibesarkan dalam masyarakat kampung dan bandar kecil. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chatin, Mentakab, Pahang. Semasa pemerintahan Jepun, beliau meneruskan pengajian di Koto-ko-Gakko dan pada 1945 memasuki Sekolah Abu Bakar aliran Inggeris sehingga darjah tertinggi yang ada ketika itu, iaitu darjah enam (Form 2 sekarang). Oleh kerana beliau ingin meneruskan pelajaran, maka beliau memohon tempat di Victoria Institution, Kuala Lumpur dan menuntut di situ dari tahun 1951-1954.

   Pengalaman melihat ayahnya yang dibicarakan oleh ‘mahkamah rakyat' atau ‘mahkamah kangaroo' yang ditubuhkan oleh Pasukan Bintang Tiga pada September 1945 menyebabkan beliau tertarik melanjutkan pelajaran ilmu undang-undang. Untuk menjadi seorang peguam bertauliah di zaman penjajah Inggeris, seseorang diwajibkan mengikut kuliah di England. Oleh kerana beliau tidak berminat bekerja dengan Kerajaan, maka beliau tidak berhak menerima sebarang biasiswa atau pinjaman kewangan dari kerajaan kolonial. Dengan bantuan keluarganya, beliau telah dihantar ke England untuk meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang peguam. Kesuntukan wang setelah ayahnya meninggal pada 1956 menyebabkan beliau terpaksa bekerja sepenuh masa dan mengumpul wang sambil belajar. Akhirnya beliau lulus peperiksaan dan diterima sebagai Barrister-at-Law. Beliau kembali ke tanah air pada 1961 dan bekerja sebagai pengamal undang-undang di Shearn, Delamore & Co. sebelum membuka firma guaman Ariffin & Ooi pada 1965.

   Pada 1976, beliau telah diminta oleh kerajaan melakukan ‘khidmat negara' dengan mengetuai Bank Bumiputra Berhad dan beliau melepaskan jawatan Pengerusi Eksekutif setelah bank tersebut menjadi bank terbesar di rantau Asia Tenggara dan saham-sahamnya dipindah milik dari kerajaan kepada Permodalan Nasional Berhad seperti dikehendaki menurut resolusi Kongres Ekonomi Bumiputra Pertama pada 1965. Kamarul adalah salah seorang yang dilantik menganggotai Majlis Perunding Negara (semasa tiadanya Parlimen apabila kacau bilau berlaku pada 13 Mei 1969). Beliau juga dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dan memegang jawatan selama sepuluh tahun.

   Jawatan-jawatan lain yang pernah disandang termasuklah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan dan juga Asean, Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia dan juga Pengerusi Majlis Bank Asean, Pengerusi pertama Majlis Perunding Kebangsaan berkenaan Kebudayaan, Ahli Jawatankuasa Kerja Persatuan Parlimen Commonwealth, Ahli Bebas Mahkamah Timbangtara Industri, Ahli Bebas Dana Simpanan Wang Pekerja (EPF), dan Ahli Capital Issues Committee (sebelum tertubuhnya Suruhanjaya Sekuriti). Di peringkat dunia, beliau telah dipilih menjadi Presiden CIOS atau Institut Perguruan Dunia dan Pengerusi Majlis Pengakap Dunia yang beribu pejabat di Geneva. Beliau juga pernah menjawat sebagai Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka dan dipilih menjadi Pengerusi kepada puluhan syarikat berhad yang tersenarai di Bursa Saham Malaysia. Beliau juga pernah menjadi penasihat undang-undang kepada beberapa pertubuhan, universiti dan individu terkemuka.

   Penglibatan beliau sebagai ahli Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara bermula pada 1972 dan beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Amanah pada 2004. Pendedahan beliau terhadap seni tampak bermula semasa beliau di England dan beliau telah melakukan lawatan serta kunjungan hampir semua galeri dan muzium terkemuka di serata dunia.