Tan Sri Melan Abdullah Tan Sri Melan Abdullah

  Tan Sri Melan Abdullah telah dilahirkan pada 24 April 1918 di Kampung Mohd. Jasin, Batu Pahat, Johor (kemudian ditukarkan namanya kepada Kampung Tongkang Pecah). Beliau telah mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kluang. Kemudian telah berpindah sekolah ke Sekolah Melayu Seri Mengkal kerana keluarganya telah berpindah tempat tinggal. Akhir sekali Tan Sri Melan ke Sekolah Melayu Pintas Puding sehinggalah beliau lulus darjah lima dan kelas agama. Setelah tamat persekolahannya, Tan Sri Melan telah berpeluang menjadi guru pelatih di sebuah sekolah Melayu yang tidak berapa jauh dari kampungnya. Tugas sebagai guru ini dijalankan lebih dari setahun.

  Tan Sri Melan kemudian telah berhijrah ke Kuala Lumpur setelah permohonannya untuk memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris ditolak. Di Kuala Lumpur, Tan Sri telah menempuh berbagai-bagai pengalaman di peringkat usia yang begitu muda. Beliau pernah mengambil upah mencuci kereta selama beberapa bulan dan selepas itu beliau telah dibawa oleh seorang kawan berjumpa dengan Sutan Jenain (pemimpin komunis) di Bukit Belacan. Semasa di Bukit Belacan, beliau telah ditugaskan untuk mengusahakan kebun sayuran yang agak luas dan kadang-kadang beliau akan menjual hasil tanaman ini di pasar berdekatan. Beliau sendiri pada masa itu tidak tahu apakah sebenarnya tempat itu. Di Bukit Belacan inilah beliau mula berkenalan dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu Muda (KMM) Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, A.Majid Ismail dan A. Karim Rashid. Setelah beberapa ketika barulah beliau mengetahui bahawa di sini merupakan tempat bagi mereka belajar mengenai politik daripada Sutan Jenain.

  Selepas lebih setahun berada di Bukit Belacan, beliau telah ditawarkan bekerja dengan cawangan akhbar Warta Malaya di Kuala Lumpur sebagai budak pejabat di bawah pengawasan seorang wartawan Ramly Hj. Tahir. Tugas beliau di Warta Malaya sebenarnya bukan sekadar budak pejabat tetapi secara tidak langsung dilatih menjadi pemberita. Semasa dengan Warta Malaya juga beliau mula ditugaskan untuk mendapatkan berita mengenai mesyuarat persatuan, perjumpaan dan sebagainya. Sehinggalah pada awal tahun 1940an apabila beliau bertemu dengan pengurus surat khabar Majlis pada masa tersebut iaitu Hj. Osman Abdullah yang menawarkan tugas sebagai pemberita di akhbar tersebut.

  Semasa menjadi pemberita di Majlis, tulisan-tulisan beliau telah menarik minat A. Rahim Kajai seorang tokoh wartawan yang terkemuka dan telah menawarkan jawatan pemberita kepada beliau di Utusan Melayu, Singapura. Setelah beberapa bulan di Singapura, beliau telah dihantar ke Johor Bahru untuk bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di sana sehinggalah meletusnya Perang Dunia Kedua. Semasa pendudukan Jepun, Tan Sri Melan pernah ditangkap oleh Jepun dan dikurung untuk beberapa ketika kerana dituduh menyokong British. Setelah dibebaskan, beliau telah menyertai Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, Ramly Hj. Tahir menjalankan kegiatan mengumpul maklumat mengenai senjata tentera Jepun, tujuannya ialah untuk digunakan bagi menentang British apabila mereka kembali semula ke Malaya. Kumpulan ini bercadang untuk menuntut kemerdekaan bersama Malaya-Indonesia dan membentuk Malaya Raya.

  Selepas tamat perang beliau sekali lagi ditahan oleh British kerana kegiatannya semasa pendudukan Jepun. Setelah dibebaskan, beliau telah kembali ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan akhbar Majlis. Beliau kemudian telah ditawarkan semula bekerja dengan Utusan Melayu di Singapura.

  Semasa UMNO sedang menghadapi masalah mengenai pucuk pimpinannya di mana Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO pada tahun 1951, Almarhum Tunku adalah antara calon yang akan mengambil alih jawatan ini. Tan Sri Melan telah ditugaskan untuk merangka ucapan Almarhum Tunku semasa mengambil alih jawatan tersebut. Sejak itu, Tan Sri Melan telah dipilih oleh Almarhum Tunku untuk merangka kebanyakan ucapan-ucapan beliau selepas peristiwa itu. Pada tahun 1957, beliau telah mewakili negara ke Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu dan telah menyampaikan ucapan di persidangan tersebut. Sementara itu pada tahun 1964, Barisan Bertindak Rakyat Malaysia juga telah ditubuhkan untuk menentang konfrontasi Indonesia yang dilancarkan oleh Soekarno.

  Tugas Tan Sri Melan sebagai wartawan telah membawa beliau ke hampir seluruh pelosok dunia. Semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, beliau telah ditugaskan untuk melawat Rusia pada tahun 1967 dan beliau adalah rakyat Malaysia yang pertama melawat negara komunis itu. Beliau berkhidmat dengan Utusan Melayu sehingga tahun 1972 apabila beliau bersara dengan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Setelah bersara Tan Sri Melan telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Sebagai mengenang jasa yang telah dicurahkan kepada negara, Tan Sri Melan telah di anugerahkan beberapa darjah kebesaran iaitu J.M.N (1964), S.M.S (1967), D.P.M.J (1983) dan P.S.M (1995)

Tokoh Pengkisahan Sejarah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Bersama Media
29 Ogos 1995
Memorial Tunku Abdul Rahman Putra