Tan Sri Murad bin Mohd. Noor Tan Sri Murad bin Mohd. Noor

Tan Sri Murad bin Mohd. Noor dilahirkan pada 10 April 1930 di Kepala Batas, Seberang Perai. Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Ibrahim, Sungai Petani, Kedah dan seterusnya di Maktab Sultan Abdul Hamid di Alor Setar. Dalam tahun 1956 Tan Sri Murad berjaya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Malaya di Singapura dan lulus Sarjana Muda Sastera dan meneruskan pengajian hingga tahun 1957 dengan Diploma Pendidikan.

Setelah menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya Tan Sri Murad memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar di mana beliau pernah belajar. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengetua Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh Perak. Sekolah ini merupakan sekolah berasrama penuh yang pertama ditubuhkan selepas negara mencapai kemerdekaan. Sekolah ini didirikan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang terpilih dari luar bandar mengikuti pendidikan peringkat yang lebih tinggi. Ia merupakan sebahagian dari hasil dasar pelajaran kebangsaan yang dimulakan oleh Laporan Pelajaran Razak dalam tahun 1956. Pertambahan bilangan sekolah rendah dan sekolah menengah yang memberi penekanan kepada pendidikan komprehensif dilaksanakan dengan lebih pesat lagi melalui Laporan Pelajaran Rahman Talib pada tahun 1960.

Untuk memahami bidang pendidikan Tan Sri Murad telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang tersebut di University of Reading, England. Sekembalinya ke tanah air dalam tahun 1963 beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelajaran (Cheif Education Officer) di Negeri Pahang sehingga tahun 1964. Setelah itu beliau ditukarkan ke Kelantan hingga tahun 1966. Untuk menambah bilangan kanak-kanak bersekolah di negeri itu, beliau telah berusaha melancarkan Kempen Kesedaran menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Oleh kerana kempen ini berjaya dan pihak Kerajaan tidak dapat menyediakan sekolah yang mencukupi, maka muncullah sekolah-sekolah persendirian untuk menampung keperluan. Berikutnya, pada tahun 1967 beliau dilantik pula sebagai Pengawal Peperiksaan (Controller of ExamInation) di Kementerian Pelajaran. Pada tahun 1970 Tan Sri Murad telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Kementerian Pelajaran. Kerjaya beliau dalam bidang yang beliau ceburi ini sampai ke kemuncaknya apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran dalam tahun 1985. Walaupun kini telah bersara beliau bergiat dalam bidang perniagaan dengan menguruskan Syarikat I.J.M. Sdn Bhd. iaitu Syarikat binaan kepunyaan beliau sendiri.

Di masa Tan Sri Murad memegang jawatan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan dan sebagai Ketua Pengarah Pelajaran dalam tahun 1970 iaitu selepas peristiwa 13 Mei 1969, Kementerian Pelajaran mula bergiat merancang dasar-dasar pelajaran kebangsaan untuk mencapai hasrat dan matlamat Dasar Ekonomi Baru bagi meninggikan dan mengimbangkan tenaga mahir (profesional) di negara ini dari segi bilangan dan komposisi. Ini bermakna tugas penting Kementerian Pelajaran di awal tahun 70-an ialah meninggikan kualiti pencapaian pelajar-pelajar bumiputera di dalam jurusan sains dan melipat gandakan bilangannya. Di bawah arahan Datuk Hussein Onn, Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Murad selaku Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, beliau telah merancang konsep serta penubuhan Sekolah Menengah Sains. Sebagai hasilnya sekolah-sekolah ini telah berjaya mengeluarkan lebih dari 2,500 pelajar bumiputera khas untuk jurusan sains setiap tahun masuk ke Universiti dalam satu dekad ini.

Masalah keciciran di kalangan pelajar juga merupakan satu perkara rumit yang memerlukan perhatian serius. Keciciran yang dimaksudkan ialah keciciran akibat tidak dapat meneruskan persekolahan kerana gagal dalam peperiksaan dan keciciran murid-murid di luar bandar yang tertinggal jauh di belakang di dalam mata pelajaran sains dan kemudahan berbanding dengan murid-murid dari sekolah-sekolah ternama di bandar-bandar besar. Untuk ini, Tan Sri Murad telah mengusahakan penubuhan jawatankuasa mengkaji keciciran dan selaku Pengerusi Jawatankuasa tersebut beliau telah menghasilkan satu laporan keciciran. Kebanyakan syor-syor yang terkandung dalam laporan itu telah pun dilaksanakan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 1973.

Ketika Tan Sri Murad memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran antara masalah yang penting perlu diselesaikan ialah meningkatkan bilangan pelajaran bumiputera mengikuti kursus di universiti di seberang laut. Ketika itu, didapati kebanyakan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran mereka di universiti tempatan berbanding dengan bukan bumiputera yang begitu ramai belajar di universiti-universiti mencukupi untuk menampung keperluan. Untuk mengatasi masalah itu, maka diwujudkan rancangan besar-besaran dengan mengadakan  biasiswa untuk pelajar-pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran ke luar negara. Rancangan ini telah menghasilkan beribu-ribu graduan yang berkelayakan dalam berbagai bidang.     

Perkembangan bidang pelajaran juga menimbulkan masalah. Bilangan pelajar yang semakin bertambah menimbulkan kesesakan di sekolah khasnya sekolah-sekolah di bandar. Kesesakan dalam bilik darjah menjejaskan kualiti pendidikan. Ada kalanya didapati murid-murid yang tamat pengajian sekolah rendah tidak boleh membaca dan menulis dengan baik. Demi memperbaiki keadaan ini Kementerian Pelajaran membuat perancangan yang rapi dengan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi mengadakan peralatan yang lengkap. Tiap-tiap sekolah disediakan dengan perpustakaan, makmal sains dan lain-lain kemudahan. Siaran TV dan radio pendidikan juga dipergiatkan. Pemberian buku-buku teks percuma telah memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar khususnya di luar bandar. Dalam masa yang sama Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan.

Kementerian Pelajaran masa kini telah mengadakan beberapa strategi untuk menentukan tercapainya matlamat dasar pelajaran negara. Dengan itu, konsep pembangunan bersepadu dari segenap jurusan pendidikan dimulakan dengan perancangan berikut:-

  1. Kurikulum peringkat pendidikan rendah diperbaharui berdasarkan kecekapan asas konsep 3M (KBSR);
  2. Menggabungkan akademik, vokasional dan teknikal di sekolah-sekolah menengah;
  3. Penyerapan pendidikan agama, moral dan lain-lain;
  4. Peningkatan pencapaian murid-murid dari luar bandar;
  5. Memperbanyakkan tempat di Tingkatan VI, Pra-Universiti, kelas-kelas persediaan dan seumpamanya; dan
  6. Mempertingkatkan pencapaian di Institusi Pengajian Tinggi.

Pendeknya, bermula dari Laporan Razak 1956 diikuti oleh Laporan Rahman Talib 1960 hingga tahun 1968 perkembangan Dasar Pelajaran Kebangsaan negara merupakan dasar yang dicipta untuk memenuhi kehendak negara yang baru merdeka. Tetapi selepas peristiwa 13 Mei 1969, keadaan mendesak dan memaksa Kerajaan menggubal dasar pelajaran yang bermatlamatkan perwujudan perpaduan di kalangan rakyat di samping menstrukturkan semula masyarakat. Dalam keadaan yang demikianlah, Y. Bhg Tan Sri Murad bermula sebagai seorang guru hingga menjadi Ketua Pengarah Pelajaran telah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

Di samping menjalankan tugas rasmi semasa berkhidmat dengan Kerajaan, Tan Sri Murad juga telah dilantik ke jawatan-jawatan penting seperti berikut:-

  1. Pengerusi Majlis Universiti Sains Malaysia;
  2. Timbalan Yang Dipertua Universiti Islam Antarabangsa;
  3. Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia;
  4. Ahli Lembaga dan Jawatankuasa Eksekutif ‘Regional Institute of Higher Education and Development' (RIHED);
  5. Ahli Majlis ‘Student Mobility in Commonwealth' di London;
  6. Pengerusi Perbadanan Pembangunan bandar (U.D.A) dan
  7. Pengerusi Tylor's College.

Jasa yang baik tetap dikenang. Begitulah juga dengan jasa yang telah ditaburkan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Murad dalam bidang pelajaran di negara ini. Dalam tahun 1969 Kerajaan Persekutuan telah menganugerahkan Bintang Kesatrian Mangku Negara (KMN). Pada tahun 1974 Kerajaan Negeri Kelantan pula menganugerahkan gelaran Paduka Mahkota Kelantan (PMK) pada tahun 1974. Di tahun yang sama juga,  Kerajaan Persekutuan telah menganugerahkan Johan Mangku Negara (JMN). Seterusnya pada tahun 1975 Kerajaan Negeri Kedah menganugerahkan Setia Mahkota Kedah (SMK). Sekali lagi pada tahun 1976 Kerajaan Negeri Kedah menganugerahkan Darjah Dato' Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk. Pada tahun 1979 Kerajaan Persekutuan menganugerahkan panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada beliau.

Pengkisahan Sejarah Pentadbiran Malaysia- Perkhidmatan Awam 1957-1970
21 Januari 1988
Arkib Negara Malaysia.