Tan Sri Mustaffa Jabbar Tan Sri Mustaffa Jabbar

Tan Sri  Mustaffa Jabbar telah dilahirkan pada tahun 1922 di Sabak Bernam, Selangor. Beliau adalah salah seorang tokoh negeri Selangor yang telah lama melibatkan diri dengan UMNO sejak dari peringkat awal penubuhan parti  tersebut.

Tan Sri Mustaffa mula menceburkan diri dalam politik ketika usianya 24 tahun. Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan beliau kepada perjuangan bangsa Melayu ialah Allahyarham Pendita Za'aba. Menurut beliau, Za'aba telah banyak memberi kesedaran tentang bangsa Melayu dan perjuangan yang perlu dilakukan oleh orang-orang Melayu untuk tanahair kita. Tan Sri  Mustaffa kemudiannya telah sama-sama Za'aba bergiat aktif dalam Persatuan Melayu Selangor. Semasa negeri ini dikejutkan oleh rancangan Malayan Union pada tahun 1946, orang-orang Melayu telah bersepakat dan bangun menentang rancangan tersebut. Di Selangor, Tan Sri Mustaffa dan beberapa tokoh yang lain telah berhimpun dan menyatakan penentangan mereka terhadap rancangan tersebut.

Bagi memantapkan penentangan terhadap gagasan Malayan Union, Persatuan-persatuan dan Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah bergabung untuk menubuhkan sebuah kongres bagi menangani masalah yang melanda negeri dan bangsa Melayu. Beberapa siri Kongres Melayu I pada 1 hingga 4 Mac 1946, Kongres Melayu ke II pada 29 dan 30 Mac 1946 dan Kongres Melayu ke III pada 11 dan 12 Mei 1946 yang membawa kepada penubuhan UMNO.

Dalam pilihanraya tahun 1955, Tan Sri Mustaffa telah bertanding dan memenangi kerusi bagi kawasan Sabak Bernam. Beliau mewakili rakyat di Sabak Bernam sejak 1955 hingga 1978.

Tan Sri Mustaffa juga pernah menjadi pengerusi MARA iaitu semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Kemudian Tan Sri telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan selepas itu dilantik pula sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang dari tahun 1973 hingga sekarang (1996).

Sepanjang penglibatan beliau dalam UMNO, beliau pernah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Setiausaha Agung UMNO dari tahun 1978 hingga 1984.

Tan Sri Mustaffa telah banyak menghabiskan masa dan tenaga beliau untuk negara dan juga bangsa Melayu. Sebagai mengenang segala usaha-usaha yang diberikan tanpa mengira penat lelah itu, beliau telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran yang antara lainnya termasuk P.S.M. (yang membawa kepada gelaran Tan Sri) S.P.M.S., D.P.M.S., J.M.N., A.M.N., dan J.P. Jasa-jasa yang diberikan itu tidak dapat dinilaikan dengan kebendaan melainkan Allah sahaja yang dapat membalas segala apa yang telah dicurahkan itu.

Siri Pengkisahan Sejarah Perjuangan UMNO
23 Mei 1996
Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia.