Tan Sri Zain Azraai B. Zainal Abidin Tan Sri Zain Azraai B. Zainal Abidin

  Tan Sri Zain Azraai bin Zainal Abidin telah dilahirkan pada 27 Julai 1936 di Teluk Intan, Perak Darul Ridzuan. Beliau merupakan anak kepada tokoh politik tanahair Tan Sri Dato’ Zainal Abidin b. Abbas dan Puan Sri Datin Puteh Mariah bt. Ibrahim Rashid. Tan Sri Zain memasuki alam persekolahannya ketika berumur 6 tahun, di sebuah sekolah Melayu (Malay Boys’ School), di zaman pemerintahan Jepun. Sekolah ini hanyalah sebagai permulaan sahaja di mana kemudiannya beliau memasuki sebuah sekolah Inggeris St. Anthony’s School pada tahun 1945-1949. Beliau berpeluang menghadiri sekolah Inggeris bersama beberapa orang kanak-kanak Melayu yang lain, di mana pada masa itu kebanyakan kanak-kanak Melayu memasuki Anglo Chinese School (ACS). beliau merupakan seorang pelajar yang cergas dan hanya mengambil masa selama 5 tahun di sekolah rendah sedangkan pelajar lain mengambil masa selama 7 tahun.

  Tan Sri Azraai kemudian telah menyambung pelajarannya ke Victoria Institution di Kuala Lumpur dalam darjah VIII (Tingkatan 4). Beliau telah menamatkan persekolahan dan mendapat Cambridge School Certificate pada tahun 1951. Ketika usianya 17 tahun, Tan Sri telah melanjutkan pelajarannya ke University of Oxford dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi. Kerjayanya di bidang pentadbiran bermula apabila beliau dilantik sebagai pegawai pelatih (Probationer Officer) dan mendapat latihan di London School of Economics pada tahun 1958. Pada tahun 1959, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Luar (Assistant Secretary) Political Division. Pada tahun 1962, Tan Sri Zain Azraai bertugas di Malaysia High Commision London untuk menjalankan kerja-kerja berhubung dengan Cobbold Commision dan rundingan mengenai penubuhan Malaysia. Tugas ini dipegang untuk selama 5 bulan sahaja, di mana beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Perutusan Tetap Malaysia di Bangsa-bangsa Bersatu, New York. Tugas ini telah disempurnakan oleh beliau dari tahun 1962-1966.

   Pada tahun 1966, beliau telah kembali ke Malaysia untuk berkhidmat di dalam negeri. Pada masa ini beliau telah diberi jawatan sebagai Pegawai Khas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie. Pada masa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri (1970-1976), Tan Sri Zain Azraai telah berkhidmat dengan Allahyarham sepanjang tempoh tersebut. Beliau bertugas sebagai Ketua Setiausaha Sulit Khas kepada Perdana Menteri bermula dari tahun 1971 hingga 1976. Pengalaman yang ada pada Tan Sri Zain Azraai semasa bersama-sama Allahyarham Tun Abdul Razak adalah sangat berguna untuk direkodkan. Ini kerana dalam jangka masa inilah negara kita sedang berada di saat-saat untuk mengembangkan hubungan dengan negara-negara luar. Pada jangka masa ini juga soal-soal pembangunan negara, tempoh atau zaman yang kita ketinggalan sebelumnya disebabkan pelbagai perkembangan politik, ekonomi, dan sosial dalam negara.

  Selepas Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia pada tahun 1976, Tan Sri Zain Azraai telah bertugas sekali lagi ke luar negara sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat dan bertauliah ke Mexico dan Brazil, juga bertugas sebagai ‘Executive Director of the World Bank’ mewakili kawasan Asia Tenggara dari tahun 1978-1982. Pada tahun 1983-1986, Tan Sri telah dilantik sebagai wakil tetap ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan juga ditauliahkan sebagai Duta Besar ke Cuba. Tugas yang terakhir beliau di dalam perkhidmatan kerajaan ialah sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Kewangan.

  Setelah bersara dari perkhidmatan Kerajaan, Tan Sri Zain Azraai masih lagi memberikan khidmatnya kepada negara melalui badan-badan lain. Antara lain beliau memegang jawatan Pengerusi Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Pengerusi Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) dan Pengerusi Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn. Bhd. (SPPK).

  Selain daripada itu, beliau juga bergiat cergas dalam aktiviti-aktiviti lain seperti ahli kepada ‘Board of Trustee Malaysian Institute of Economic Research’ (MTER), Pengerusi Balai Seni Lukis Negara (1973/76), the ‘International Advisory Council, Asia Society’, New York, ‘Asia-Australia Institute’, Sydney, Dunlop Pacific Ltd. (Australia), ‘Management Committee of Institute of Diplomacy and International Relations’ dan beliau juga merupakan ‘Distinguished Fellow of the Institute of Strategic and International Studies’ (ISIS). Tan Sri juga sering menyampaikan ceramah-ceramah di Universiti Malaya dan ‘Armed Forced Staff College’.

  Segala khidmat dan bakti Tan Sri Zain Azraai sepanjang masa perkhidmatannya sama ada di dalam perkhidmatan kerajaan mahupun selepas bersara amat besar kepada negara.Untuk mengenang jasa-jasa ini, beliau telah diberi penghormatan oleh negara dengan dianugerahkan pingat P.S.M. dan P.S.D. daripada D.Y.M.M. Yang di-Pertua Agong dan S.P.M.P daripada D.Y.M.M. Sultan Perak.

Tokoh Siri Pengkisahan Sejarah-Sejarah Pengkisahan:Tun Abdul Razak Dalam Kenangan
18 Jun 1992
Arkib Negara Malaysia