Tan Sri Zainuddin Maidin Tan Sri Zainuddin Maidin

  Tan Sri Zainuddin Maidin telah dilahirkan pada 29 Jun 1939 di Kota Kuala Muda, Kedah. Beliau telah melanjutkan pelajarannya di Maktab Mahmud, Alor Setar. Beliau kemudian telah memulakan kerjaya sebagai pemberita apabila diambil bekerja sebagai ‘stringer' di Utusan Melayu di Alor Setar dari tahun 1951 hingga 1960.

  Pada tahun 1961, Tan Sri Zainuddin telah berpindah ke Kuala Lumpur dan bertugas sebagai pemberita tetap di Utusan Melayu. Tugas beliau ini berterusan sehingga tahun 1962 di mana selepas itu beliau telah diberikan tugas yang lain yang lebih mencabar iaitu sebagai Ketua Pemberita sehinggalah tahun 1971.

  Tan Sri Zainuddin kemudian berpeluang melanjutkan pengajiannya di bidang kewartawanan di luar negeri apabila beliau diterima mengikuti kursus di Institute of Journalism di Berlin, German pada tahun 1969. Beliau kemudiannya telah dinaikkan pangkat sebagai pengarang berita antara tahun 1972 hinggalah ke tahun 1975.

  Pada tahun 1975 juga, beliau telah dihantar ke London oleh Utusan Melayu sebagai wakil akhbar di sana. Beliau telah menjalankan tugas-tugas di London selama setahun dan kembali ke Malaysia pada tahun 1976. Semasa di London, Tan Sri Zainuddin pernah berkhidmat di bahagian Melayu BBC London.

  Sekembalinya dari London, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Utusan Malaysia. Tugas ini dipegang oleh beliau sehingga tahun 1982. Dalam masa yang sama juga beliau telah dianugerahkan ‘Professional Journalism Fellowship University of Michigan' untuk tempoh setahun iaitu antara tahun 1981 hingga tahun 1982.

  Pada tahun 1983, Tan Sri Zainuddin telah dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan. Jawatan ini dipegang oleh beliau sehinggalah ke tahun 1992, apabila beliau telah dilantik pula sebagai Penasihat Jabatan Pengarang sehinggalah bulan Ogos tahun 1994. Pada bulan September tahun 1994, Tan Sri Zainuddin telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Publications & Distributors. Jawatan ini masih lagi dipegang oleh beliau sehinggalah ke tahun 1995.

  Pengalaman yang telah dilalui oleh beliau dalam bidang kewartawanan amat luas sekali. Beliau telah memulakan kerjaya di bidang ini dari peringkat bawah sehinggalah berjaya seperti kedudukannya sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Publications & Distributors. Pengalaman beliau dalam bidang yang diceburinya ini amat berguna sekali untuk dikongsi bersama. Beliau sering ditugaskan untuk menemu ramah tokoh-tokoh penting negara seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman. Selain dari tugas-tugas sebagai wartawan, Tan Sri Zainuddin juga bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan yang berkaitan dengan kerjaya. Antaranya beliau adalah Presiden Kesatuan Wartawan kebangsaan Malaysia (NUJ) dalam tahun 1970an, dan Presiden Kelab Kebangsaan Wartawan Malaysia dari tahun 1984 hingga tahun 1989.

   Sebagai mengenang jasa dan sumbangannya kepada negara, Tan Sri Zainuddin telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran iaitu A.M.P. pada tahun 1982, A.M.K. pada 1987, S.M.S pada 1990 dan pada tahun yang sama juga, beliau dianugerahkan J.M.N.

Pengkisahan Sejarah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Bersama Media
29 Ogos 1995
Memorial Tunku Abdul Rahman Putra