Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar

 Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun dilahirkan pada 31 Julai 1918 di Kampung Limau-Limauan, Kudat, Sabah. Merupakan anak keempat daripada sembilan orang adik-beradik kepada pasangan Datu Harun bin Datu Nasaruddin dan Norani Hj. Abdul Rahim. Tun memulakan pendidikan formal di Sekolah St. James, Kudat, tetapi hanya sempat bertahan selama sembilan bulan sahaja, kerana ibunya meninggal dunia dan juga kerana perpindahan bapanya ke tempat lain.

 Pengalaman Tun bekerja telah bermula seawal usia sepuluh tahun lagi, dengan bekerja sebagai pelayan rumah kepada Residen Kudat Syarikat Berpiagam Borneo Utara, E.W. Morrel. Pengalaman Tun dalam pentadbiran awam pula bermula sebagai Office Orderly di Pejabat Daerah Kudat pada tahun 1934 dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Native Clerk di pejabat Anak Negeri Kudat. Pada 1 Februari 1937, Tun dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (Native Chief). Minat dalam bidang pertanian, mendorong Tun untuk mengikuti kursus pertanian anjuran RIDA (Rural Industry Development Authority) dari tahun 1951- 1952 di Maktab Pertanian Malaya, Serdang, Selangor.

 Karier politik Tun Datu Haji Mustapha bermula apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Undangan Negeri Borneo Utara pada tahun 1954 dan seterusnya Ahli Majlis Kerja Borneo Utara pada tahun 1956. Pada tahun 1961, Tun Datu Haji Mustapha telah mengasaskan penubuhan parti United Sabah National Organization, (USNO) dan dipilih sebagai Yang di-Pertua USNO yang pertama pada 24 Disember 1961. Penubuhan USNO ini didorong oleh perkembangan politik yang berlaku di Persekutuan Tanah Melayu dan pengumuman konsep Gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Cadangan Tunku disambut baik oleh Tun dan USNO. Segala usaha dan sokongan Tun membuahkan hasil apabila Persekutuan Malaysia berjaya diisytiharkan pada 16 September 1963. Tun Datu Haji Mustapha kemudiannya telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang pertama. Pada tahun 1965, Tun mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmatnya sebagai Yang di-Pertua Negeri bagi membolehkan beliau kembali ke gelenggang politik dan memimpin USNO.

 Tun Datu Haji Mustapha juga merupakan seorang yang bergiat aktif dalam pertubuhan kebajikan dan sukarela. Antara kegiatan yang disertai oleh beliau ialah sebagai Presiden Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), PERKIM (sesi 1977/ 1979) dan Ketua Persatuan Pengakap Sabah. Selain itu juga, Tun juga dilantik sebagai Pro-Canselor bagi Universiti Pertanian Malaysia dari November 1973 hingga Februari 1990.

 Sepanjang hayatnya, Tun Datu Haji Mustapha telah dianugerahkan dengan pelbagai pingat dan darjah kebesaran, antaranya "Knight Commander of Republic of Lebanon" (K.C.R.L.) oleh Presiden Lebanon pada tahun 1972; Seri Darjah Paduka Chura Si-Maharaja (S.P.C.M.) dengan gelaran "Dato Seri" daripada Sultan Perak; Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) dengan gelaran "Datuk Seri Panglima"; dan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.), anugerah tertinggi di Malaysia dengan gelaran "Tun" pada 26 November 1964.

 Biarpun Tun Datu Haji Mustapha telah kembali ke rahmatullah pada 2 Januari, 1995, namun jasa dan sumbangannya yang amat bernilai bernilai kepada masyarakat dan negeri Sabah khususnya dan Malaysia amnya, Tun telah dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang pembangunan Sosial pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah pada 2-3 September 2006.

Skrip disediakan oleh :
Seksyen Dokumentasi
Arkib Negara Malaysia/2011