Tun Razak Penggerak Pembangunan Rakyat / Negara Tun Razak Penggerak Pembangunan Rakyat / Negara

   14 Januari 1976 sejarah terukir apabila Malaysia kehilangan seorang tokoh negarawan yang telah mengabadikan setiap denyut nadinya untuk mengisi dan memberi erti kepada Kemerdekaan. Seluruh negara tersentak kerana mereka kehilangan seorang tokoh pejuang bangsa yang dihormati dan disegani bukan sahaja kerana sumbangan dan jasa beliau terhadap pembangunan negara tetapi juga seorang pemimpin dinamis yang sukar dicari ganti. Rakyat dikejutkan dengan berita pemergian Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein kerana penyakit leukemia.

   Tun Abdul Razak dilantik menjadi Menteri Pelajaran dalam Kabinet yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan juga sebagai Ketua Whip dalam Majlis Undangan Persekutuan pada 9 Ogos 1955 berikutan kemenangan besar Parti Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955. Kemenangan besar Perikatan adalah atas undi yang tidak berasaskan perkauman, ramai calon bukan Melayu yang menang di kawasan Melayu.

   Di sinilah kaliber kepimpinan Tun Abdul Razak semakin terserlah. Ketokohannya sebagai nasionalis memberikan kekuatan dengan ketegasannya memperkenalkan beberapa langkah berani dalam Penyata Razak untuk memenuhi harapan sebilangan besar rakyat bagi membentuk bangsa merdeka beridentitikan Malaya. Pada masa ini kebanyakan sekolah Cina di bandar-bandar besar telah disusupi oleh anasir komunis. Beliau mengambil tindakan dengan menyekat penyusupan ini dengan menutup sementara sekolah yang tidak mengendahkan amaran kerajaan. Bagi menjayakan tindakan tersebut, beliau telah membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji dasar pelajaran yang ada dan membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan yang boleh diterima oleh seluruh rakyat persekutuan. Dasar ini juga perlu memenuhi hasrat meningkatkan pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik sebagai suatu bangsa dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa mengenepikan pertumbuhan bahasa dan kebudayaan kaum yang lain.

   Penyata Razak 1956 ini merupakan polisi yang agak radikal dalam usaha membawa perubahan besar bagi sekolah-sekolah dengan matlamat utama untuk menyatupadukan rakyat. Antara perkara utama yang terkandung di dalam Penyata ini adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) yang berbahasa pengantar bahasa Melayu dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Kuo-Yu, Tamil dan Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Namun bahasa Melayu buat pertama kali diajarkan di semua Sekolah Jenis Kebangsaan. Ini adalah proses untuk menjadikannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Dasar yang mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ini juga menetapkan kandungan pelajaran yang sama di semua peringkat sekolah untuk menyemai semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari pelbagai kaum. Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga untuk membangunkan negara.

Mukasurat: 1  2  3  4