Tun Razak Penggerak Pembangunan Rakyat / Negara Tun Razak Penggerak Pembangunan Rakyat / Negara

   Tanggal 16 Januari 1976 Tun Razak disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara bersebelahan makam sahabat karibnya Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman. Negara menangisi pemergian seorang negarawan bangsa yang amat gigih, yang tidak pernah jemu untuk terus memerah keringat demi memajukan bangsa dan mengharumkan tanah airnya. Tun Razak telah tiada untuk melihat segala usaha yang dirintis akhirnya menjadi pemacu kepada kepesatan kemajuan negara. Umpama lilin yang membakar diri, hari ini kita melihat hampir setiap institusi pembangunan negara yang berjaya dan bangkit untuk menaikkan martabat bangsa telah dimulakan oleh beliau.

   Pemergian mengejutkan pada usia 54 tahun bersama legasi yang ditinggalkan seharusnya menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat untuk terus mempertahan dan menjadikannya lebih baik untuk Malaysia. Sesuatu yang perlu diakui bahawa agenda pembangunan dan ideologi Tun Abdul Razak telah membina satu landasan untuk mencapai taraf kehidupan, pembangunan dan perpaduan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia. Hari ini kita kehilangan Tun Abdul Razak, tetapi percayalah bahawa Tun Abdul Razak tidak pernah jauh meninggalkan kita kerana semangat perjuangan negarawan ulung ini tidak pernah padam meskipun telah lebih tiga dekad beliau pulang ke Rahmatullah. Semoga semangat juangnya sentiasa dikenang, terpahat kemas dalam ingatan, menjadi kebanggaan dan membakar semangat. seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperjuangkan apa yang telah dipelopori oleh Tun Abdul Razak. AL-FATIHAH.

Mukasurat: 1  2  3  4