Arkib Negara Malaysia Memenangi Anugerah Unesco Jikji Memory Of The World Prize 2009 Arkib Negara Malaysia Memenangi Anugerah Unesco Jikji Memory Of The World Prize 2009

Jikji Memory of The World Prize adalah merupakan hadiah yang bernilai USD 30,000.00 bagi memperingati pendaftaran Jikji, iaitu buku cetakan besi yang tertua di dunia, dibuat pada tahun 1377, di bandar Cheongju, Republik Korea. Hadiah ini diberi setiap dua tahun sekali kepada mana-mana individu atau organisasi yang dikenalpasti telah memberikan sumbangan yang signifikan terhadap usaha pemeliharaan serta kemudahan capaian kepada bahan khazanah warisan di peringkat dalam negara, rantau serta dunia.

Arkib Negara Malaysia telah diumumkan sebagai pemenang hadiah tersebut pada tahun ini oleh UNESCO semasa mesyuarat International Advisory Committee of UNECO’s Memory of The World Programme yang telah diadakan pada 31 Julai 2009 di Bridgetown, Barbados. Pencalonan Arkib Negara Malaysia telah diterima dan diikhtiraf oleh pihak UNESCO berdasarkan kepada sumbangan yang telah diberikan oleh jabatan ini khususnya dalam program-program pengembangan, pendidikan dan latihan dalam bidang pemeliharaan bahan khazanah warisan di rantau Asia sejak penubuhannya pada tahun 1957 sehingga kini.

Arkib Negara Malaysia telah dijemput oleh Datuk Bandar Cheongju, Sang Woo Nam untuk menerima anugerah ini pada 2 – 6 September 2009 di bandar Cheongju, Republik Korea. Kerajaan tempatan bandar Cheongju akan membiayai sepenuhnya 2 orang pegawai untuk menghadiri majlis ini nanti.